PELBAGAI polemik dan diskusi pasca pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berhubung pendirian kerajaan untuk menarik semula penyertaan Malaysia daripada meratifikasi Statut Rom pada 5 April lalu.
Isu tersebut turut disensasikan dalam media sosial sehingga kita menjadi alpa dengan persoalan utama iaitu apakah punca yang menyebabkan kerajaan mengubah pendirian tersebut.
Ia bermula apabila mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara pada tanggal 2 April 2019 mengikut peruntukan di bawah Perkara 40(2)(c) dan 38(2) Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan peruntukan tersebut, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan perkara yang bersangkutan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut diadakan secara tergempar bagi membincangkan khusus mengenai isu Statut Rom yang didakwa oleh sebahagian pihak, mampu menggugat dan menjejaskan kuasa para Sultan khususnya Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan tentera di negara ini.
Bahkan, Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-jaja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Dalam membuat pertimbangan dan perbincangan yang sewajarnya, mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut telah menerima mengadap beberapa individu berkelayakan, iaitu Panglima Angkatan Tentera Malaysia, (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Turut diundang menghadap adalah beberapa orang ahli akademik yang pakar dalam undang-undang perlembagaan dan antarabangsa iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi (UM), Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (UIAM), Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad (UiTM), Dr. Fareed Hassan (USIM) dan Hisham Hanapi (TARUC).
Oleh yang demikian, Majlis Raja-Raja hakikatnya telah didedahkan dan dikemukakan dengan maklumat-maklumat penting selain melihat pandangan dari pelbagai sudutberbeza andai Statut Rom diterima dan diratifikasi Malaysia.
Secara tersirat, ia melambangkan keterbukaan Majlis Raja-Raja untuk mendengar pelbagai lontaran pendapat sebelum membuat keputusan tersebut.
Resolusi mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut telah memutuskan dan membuat ketetapan untuk membatalkan hasrat Malaysia bagi meratifikasi Statut Rom.
Sekiranya difahami, sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada raja, setiap pihak seharusnya menghormati dengan menerima patuh keputusan dan titah diraja yang telah diisytiharkan oleh mesyuarat Majlis Raja-Raja ini.
Apatah lagi, keputusan yang dibuat adalah seiring dan bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara ini, justeru ia tidak wajar dipersoalkan.
Pertikaian keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja oleh aktivis dan beberapa individu dengan mencanangkan bahawa baginda Raja-raja telah dihasut dan hanya mendengar pandangan sebelah pihak sahaja merupakan suatu tindakan amat tidak beretika.
Malah ia boleh diterjemah sebagai suatu kecenderungan untuk mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Agong atau mana-mana Raja.
Sekiranya perlu, peruntukan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 boleh digunapakai jika pihak berwajib komited untuk menghentikan sebarang bentuk aktiviti sedemikian.
DR. MOHD. IZZAT AMSYAR MOHD. ARIF Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.











