JUMAAT lalu seorang sahabat (pesara kerajaan) minta saya huraikan kepadanya maksud sebenar Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan. Dia telah membaca pendapat pelbagai pihak mengenai kedudukan atau status Perlembagaan Negeri dan berasa hairan serta keliru kenapa sekarang (setelah negara Merdeka 62 tahun) tiba-tiba isu ini timbul?
Dia ingin tahu apakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa disebabkan negara ini sudah ada Perlembagaan Persekutuan, maka Perlembagaan Negeri terbatal dan tidak berkuatkuasa lagi?
Saya katakan padanya bahawa berasaskan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, pendapat sedemikian adalah tidak betul.
Perkara 71 mempunyai tajuk “Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri” (dalam versi bahasa Inggeris, Federal guarantee of State Constitution).
Ini bererti bahawa Perlembagaan Persekutuan (yang merupakan undang-undang utama di negara kita – lihat Perkara 4) menjamin setiap Perlembagaan Negeri dalam negara ini terus wujud, tidak batal, tidak tergugat dan tidak ada cacat cela atau kekurangannya.
Apakah perkara yang “dijamin” di bawah Perkara 71 ini? Peruntukan ini menyatakan bahawa perkara yang dijamin adalah “hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu…”
(the right of a Ruler of a State to succeed and to hold, enjoy and exercise the constitutional rights and privileges of Ruler of that State in accordance with the Constitution of that State).
PERKARA 71, SISTEM FEDERALISME
Andainya sekali pun ada perbezaan pendapat mengenai erti atau maksud sebenar Perkara 71 ini, yang sudah pasti adalah bahawa Perkara 71 terus mengiktiraf kewujudan Perlembagaan Negeri.
Pengalaman kita sepanjang 62 tahun negara merdeka menunjukkan bahawa Dewan Undangan Negeri terus wujud dan berfungsi di setiap negeri (terus meluluskan undang-undang negeri dan bajet kerajaan negeri setiap tahun).
Dan kerajaan negeri terus diterajui dan dipimpin oleh menteri besarnya sendiri. Kesemua ini merupakan bukti kewujudan dan kelangsungan Perlembagaan Negeri.
Perkara 1 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa “Negeri-Negeri Persekutuan adalah terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu” (nama-nama ini disusun mengikut abjad).
Secara logik apabila Perlembagaan Persekutuan mengesahkan dan menegaskan bahawa Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri tersebut, kesimpulan yang tidak boleh dielak (the irresistible conclusion) adalah bahawa Perlembagaan negeri-negeri itu wujud. Tanpa Perlembagaan Negeri, suatu negeri itu tidak boleh wujud.
Kesimpulan ini perlu ditekankan kerana negara kita ini mengamalkan sistem federalisme, bukan sistem unitary. Andainya kita mengamalkan sistem kerajaan unitary, maka kita perlu ada satu sahaja Perlembagaan bagi seluruh negara manakala Perlembagaan Negeri yang menganggotai negara tidak perlu wujud.
Bukti paling nyata bahawa kita mengamalkan sistem federalisme (bukan sistem unitary) adalah Perkara 74 “Hal Perkara Undang-Undang Persekutuan dan Negeri” (Subject matter of federal and state laws), dibaca bersama Jadual Kesembilan.
BEZA KUASA PUSAT, NEGERI
Pada satu ketika dulu Kerajaan Negeri Kelantan telah mencabar tindakan Kerajaan Persekutuan membawa masuk Sabah, Sarawak dan Singapura kepada satu entiti baru bernama “Malaysia” tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuannya.
Dalam kes ini, yang dikenali sebagai Kerajaan Negeri Kelantan lwn Kerajaan Persekutuan Malaya dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj [1963] MLJ 355, mahkamah memutuskan bahawa persetujuan atau izin kerajaan negeri Kelantan tidak perlu. Isu kalah menang dalam kes itu tidak penting.
Yang penting adalah kesediaan mahkamah mengiktiraf Negeri Kelantan sebagai satu entiti kerajaan negeri dalam negara ini.
Ramai orang keliru dengan membuat anggapan bahawa di negara ini kuasa asal pemerintahan (kuasa legislatif) bermula dari Kerajaan Persekutuan, dan dari Kerajaan Persekutuan itu maka kuasa-kuasa ini kemudian diagihkan dan dibahagi-bahagi kepada negeri. Hakikatnya adalah sebaliknya.
Kuasa asal adalah pada mulanya di tangan kerajaan negeri dan apabila negeri-negeri membentuk satu gabungan kuasa bersama (dipanggil “Persekutuan”) mulai pada 1895, kemudian pada 1948 dan seterusnya 1957 dan akhirnya 1963, kebanyakan kuasa pemerintahan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Mana-mana kuasa yang tinggal (kuasa baki), tidak diagihkan dan dibahagi-bahagi dalam Jadual Kesembilan adalah kekal pada kerajaan negeri; lihat Perkara 77 “Kuasa baki perundangan” (Residual power of legislation).
Dalam bahasa mudah, punca kuasa (pemberi kuasa) adalah kerajaan negeri manakala yang menerima kuasa adalah Kerajaan Persekutuan. Seperti dinyatakan di atas, peristiwa ini berlaku empat kali dalam sejarah negara.
Tanpa kerajaan negeri setuju bergabung dan bersedia berkongsi kuasa (menyerahkan sebahagian dari kuasa asalnya), tidak akan wujud Kerajaan Persekutuan, yang kini menguasai bahagian lebih besar berbanding kuasa kerajaan negeri.
Saya jelaskan lagi kepada sahabat saya andainya dia masih lagi ragu-ragu tentang persoalan sama ada Perlembagaan Negeri sudah mansuh atau masih kekal utuh dan kukuh apabila Perlembagaan Persekutuan mula berkuatkuasa, dia perlu semak dan baca sendiri teks Perlembagaan Persekutuan dari awal hingga akhir sehingga semua Jadualnya.
PERLEMBAGAAN NEGERI DIMANSUHKAN?
Dia tidak akan jumpa apa-apa peruntukan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Negeri telah dimansuh atau dibatalkan. Ketiadaan peruntukan pemansuhan (repealing provisions) adalah bukti bahawa memang tidak ada niat bagi penggubal Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan mana-mana Perlembagaan Negeri.
Akhir sekali, pesanan kepada sahabat saya andainya masih lagi tidak yakin tentang isu ini dan berpendirian bahawa Perlembagaan Negeri tidak lagi wujud (sekali gus menyebabkan Dewan Undangan Negeri juga tidak wujud), kenapakah Perlembagaan Persekutuan sendiri menyatakan dalam Perkara 74 Fasal (2) bahawa Dewan Undangan Negeri ada kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang disebutkan dalam Senarai Kedua dan Senarai Ketiga Jadual Kesembilan?
Jika Perlembagaan Negeri terbatal dan tidak wujud lagi (yang bermakna Dewan Undangan Negeri juga terbatal dan turut sama tidak wujud), tidakkah Perkara 74 Fasal (2) ini menjadi sia-sia?
DATUK SALLEH BUANG ialah dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











