Berdiri enam jam setiap hari di gelanggang ais - Utusan Malaysia

Berdiri enam jam setiap hari di gelanggang ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH hampir enam jam kanak-kanak yang berpakaian sut luncur ais itu berdiri dalam gelanggang Pusat Luncur Ais di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor.

Kanak-kanak berumur empat tahun itu berdiri kaku sambil menahan kesejukan. Sambil berdiri, air matanya mengalir perlahan membasahi pipi.

Tidak dipaksa atau didesak, Chloe Ng Xin Yao sendiri tidak mahu berganjak daripada tempat latihan dan permainan luncur ais tersebut walaupun sudah dipujuk ibunya, Amy Ng untuk berehat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan itu berlaku setiap hari selama seminggu namun, apa yang mengagumkan tidak sekalipun Chloe menyatakan mahu menarik diri daripada menyertai Akademi Luncur Ais Sunway.

Itulah rutin yang dilalui Chloe pada awal pembabitannya dalam sukan luncur ais pada tahun 2015.

Walaupun itu adalah pengalaman pertamanya meluncur ais, dia tidak mudah berputus asa, malah begitu yakin mampu menggerakkan kaki dengan lancar.

Percubaan pertamanya berhasil namun adakalanya Chloe tetap jatuh terduduk dan tersungkur sama seperti kanak-kanak lain.

Namun, dia tetap meneruskan percubaan bermain luncur ais sehingga berpuas hati.

Pencapaian

Menurut Chloe yang kini berusia lapan tahun, tidak ada sesiapa pun yang memaksanya untuk bermain luncur ais. Minat itu timbul dengan sendiri.

“Sejak usia empat tahun lagi saya sudah menunjukkan minat terhadap aktiviti meluncur ais. Pertama kali ibu membawa saya ke gelanggang luncur ais dan memperkenalkan kepada saya dengan aktiviti ini, saya amat teruja.

“Walaupun pada mulanya agak sukar namun selepas berlatih pada setiap hari, saya langsung tidak bosan dan berasa penat kerana saya benar-benar sukakan sukan ini,” katanya ketika ditemui K2 di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS), Empire City, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Antara kejayaan tertinggi yang dicatatkan Chloe adalah meraih pingat emas Asian Junior Figure Skating Challenge 2018/2019 di Hong Kong pada Disember tahun lalu dan pingat emas Singapore National Figure Skating Championships pada Mac tahun ini.

Pada kedua-dua pertandingan tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu bukan sahaja berjaya memperoleh pingat emas namun peserta cilik pertama dari Malaysia yang berjaya memenangi pertandingan berkenaan.

Malah, lebih mengagumkan, Chloe merupakan pemegang The Malaysia Book of Records sebagai peluncur ais paling muda bagi kategori wanita yang berjaya memenangi pertandingan Asia Figure Skating Competition.

Dia memenanginya pada Asia Figure Skating Competition 2016 di Kuala Lumpur. Pada pertandingan itu, Chloe ketika itu berusia enam tahun membawa pulang 10 pingat emas dan dua perak.

Luncur ais merujuk kepada pergerakan melalui permukaan ais dengan memakai kasut luncur. Perbuatan itu dilakukan sama ada untuk tujuan senaman, rekreasi atau bersukan.

Luncur ais bermula di Eropah pada abad ke-17 dan pada ketika itu masyarakat menggunakan tulang haiwan yang sudah diasah untuk dijadikan kasut luncur.

Terdapat beberapa kategori bagi sukan luncur ais antaranya luncur ais berbunga atau figure skating, luncur ais laju bertrek (speed skating) dan luncur ais di kawasan semula jadi (tour skating).

Bagi Chloe, melakukan luncur ais berbunga amat mencabar kerana ia memerlukan atlet melakukan beberapa pergerakan seperti putaran, lompatan dan elemen tertentu yang memerlukan disiplin serta latihan yang kemas sambil diiringi muzik.

Kata Chloe yang merupakan seorang anak tunggal, untuk melakukan pergerakan pusingan, dia mengambil masa berbulan lamanya untuk mahir dan sehingga kini masih berlatih untuk memantapkan pergerakannya.

“Gerakan yang paling mencabar adalah aksi memusingkan badan sambil melompat ke udara kemudian turun tanpa terjatuh. Saya sentiasa berhati-hati ketika melakukannya.

“Selain itu, meluncur dengan pantas mengikut rentak muzik juga mencabar kerana adakalanya memerlukan ketangkasan untuk bergerak,” ujarnya yang mempunyai tali pinggang berwarna kuning dalam taekwondo.

Gerak tari

Melihat Chloe mempamerkan aksinya, gerak tari yang dipersembahkan amat mempesonakan. Dia langsung tidak kekok, malah persembahan yang dipamerkan persis seorang peluncur profesional.

Tidak hairanlah banyak kejayaan yang dikecapinya antaranya meletakkan diri pada podium juara dalam beberapa pertandingan yang disertainya.

Apa yang unik, pada setiap persembahan yang disertai Chloe, dia akan membawakan tema dan cara persembahan yang berbeza daripada peserta lain.

Tutur ibunya, Amy Ng, apabila mendapat tahu anaknya menyertai mana-mana pertandingan, dia adalah insan yang paling sibuk dan bertungkus-lumus memikirkan kelainan apakah yang akan dibawa anaknya nanti.

Kata Amy, dia dan suaminya, Karl Ng mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar Chloe pergi mempelajari teknik gerak tari dari luar negara seperti Indonesia.

Misalnya, bagi persiapan ke pertandingan Asian Junior Figure Skating Challenge 2018/2019 di Hong Kong, Chloe membawakan tema persembahan Puteri Gunung Ledang yang amat popular di negara ini.

“Sebelum memilih tema tersebut, saya ada membuat sedikit kajian daripada laman web dan membaca buku berkaitan. Saya rasa, ia adalah tema yang sesuai untuk dipersembahkan di hadapan juri antarabangsa.

“Tambahan pula, saya pernah membawa Chloe menonton teater muzikal Puteri Gunung Ledang, jadi sedikit sebanyak Chloe sudah biasa dengan cerita ini,” katanya yang turut membuat rekaan baju luncur ais khas bertemakan ala puteri untuk Chloe.

Tambah Amy, pemilihan itu tepat apabila kesemua juri terpegun dan kagum dengan persembahan Chloe yang mempamerkan liuk lentuk bagaikan seorang puteri sambil menari.

Pengorbanan

Menyebut mengenai sukan luncur ais di Malaysia, ia mungkin tidak sepopular sukan bola sepak namun, sukan itu tetap mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Kebanyakan atlet sukan luncur ais akan menyertai pertandingan dengan menggunakan wang ringgit sendiri dan penyertaan mereka dalam mana-mana pertandingan luncur ais lazimnya melalui persatuan sukan luncur tersebut.

Antaranya Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

Melihat kejayaan yang diperoleh Chloe, sebenarnya bukan mudah untuk mencapai ke tahap itu pada usia muda. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukannya.

Antara yang paling ketara adalah terpaksa mengorbankan zaman kanak-kanak yang sepatutnya dilalui dengan gembira bersama rakan-rakan.

“Saya sering menasihatinya, jika dia mahu melakukan aktiviti lain tetapi dia tidak mahu. Dia bersungguh-sungguh mencintai dunia luncur ais ini.

“Jika kanak-kanak lain keluar menonton wayang, dia pula menghabiskan masa hampir setiap hari di pusat luncur ais,” terangnya yang akan menemani Chole setiap kali anaknya itu berlatih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini