KUALA LUMPUR – Tujuh pasukan yang berdepan hukuman pemotongan 50 peratus geran tahunan serta sekatan perpindahan pemain untuk jendela kedua oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengambil langkah proaktif apabila kesemuanya telah mengemukakan rayuan sebelum tarikh tutup petang tadi.
Pasukan berkenaan melibatkan Melaka United, Kuala Lumpur, Felda United yang beraksi di Liga Super sementara empat pasukan dari Liga Premier iaitu Sarawak, Kelantan, PDRM FA dan Pulau Pinang.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan keputusan mengenai hukuman itu diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dan semua pasukan boleh membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari iaitu sehingga jam 5 petang hari ini.
Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) mendahului pasukan lain menghantar surat rayuan apabila mengemukakan dokumen berkenaan sebelum tarikh pengumuman hukuman terbabit.
Perkara tersebut disahkan Naib Presiden MUSA, Mohd. Ashiq Abd Samad yang menyatakan pihaknya sudah mengetahui terlebih dahulu perkara terbabit dan terus membuat rayuan bagi meringankan hukuman.
Selain itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa turut mengesahkan surat rayuan kepada MFL sudah dihantar Jumaat lalu dalam usaha untuk memberi kelonggaran buat pasukan untuk mendapatkan pemain pada jendela perpindahan kedua yang dibuka pada 2 Mei.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah juga memberitahu pihaknya memandang serius hukuman terbabit seterusnya menghantar surat rayuan kepada MFL minggu lalu.
Pada masa sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani senada mengatakan pihaknya sudah menghantar rayuan minggu lalu sekali gus menolak perkhabaran yang mengatakan beliau tidak mengambil berat mengenai hukuman berkenaan.
Tiga lagi pasukan Felda United, PDRM FA dan Sarawak juga telah mengesahkan menghantar surat rayuan sebelum tarikh tutup kepada badan pengendali Liga M. – K! ONLINE











