LONDON 29 April – Sehari selepas tewas kepada bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk dalam anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) 2019, bintang Manchester City, Raheem Sterling akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dinobat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) hari ini.
Pemain sayap England itu menerima 62 peratus daripada undian keseluruhan yang melibatkan 400 ahli FWA, lebih 100 undi mengatasi Van Dijk.
Rakan sepasukan Sterling, Sergio Aguero pula menduduki tangga ketiga.
Semalam, Sterling, 24, kalah kepada Van Dijk dalam anugerah PFA tetapi diumumkan sebagai Pemain Muda Terbaik.
Sterling merupakan tonggak utama skuad Pep Guardiola yang kini berada pada landasan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan satu mata mengatasi Liverpool ketika saingan berbaki dua perlawanan.
Dia menjaringkan 29 gol buat kelab dan negaranya musim ini, termasuk meledak hatrik dalam perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech di Wembley, bulan lalu.
Sementara itu, penyerang City, Nikita Parris memenangi anugerah Pemain Wanita Terbaik. – AFP











