KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 15 individu warganegara China termasuk lapan wanita yang sedang asyik berhibur dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan di sini pada Sabtu lalu.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seramai empat pegawai dan 18 anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur telah menyerbu pusat hiburan tersebut berdasarkan risikan dan maklumat awam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Rudy Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pihak polis telah melakukan pemeriksaan terhadap 17 individu yang terdiri daripada pengunjung di pusat hiburan tersebut.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati seramai 15 daripadanya positif dadah jenis ketamin iaitu tujuh lelaki dan lapan wanita warganegara China.
“Semakan rekod terhadap premis ini mendapati bahawa ia mempunyai lesen hiburan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rudy menambah, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan sebanyak dua kali terhadap premis yang sama tahun lalu.
“Kesemua tangkapan telah direman selama empat hari bermula Sabtu lalu hingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan. Hukuman terhadap kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi RM5000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari tempoh dua tahun,” ujarnya. – K! ONLINE











