KUALA NERANG – “Makcik selamat sebab tuhan nak tolong makcik, kalau jiran sampai lambat leher makcik dah kena kelar”.
Demikian kata Che Nah Isa, 70, yang nyaris maut apabila hampir dikelar anak kandungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Tanjung Piring dekat sini hari ini.
Menurut Che Nah, dia masih trauma apabila sering terbayangkan kejadian dia hampir dikelar dengan parang oleh anak bongsu daripada enam beradik itu.
“Saya tidak boleh pergi ke ruang dapur kerana seperti nampak suspek berdiri sambil memegang parang mahu menyerang saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Piring, Nami dekat sini hari ini.
Menceritakan semula kejadian, katanya, suspek tiba-tiba menarik tangannya ke ruang dapur sebelum menolaknya sehingga terbaring di atas lantai.
“Anak saya kemudian duduk di atas badan sambil mengilas kaki saya sebelum meletakkan parang pada leher.
“Saya terus menjerit dan menolak parang itu sekuat hati sebelum beberapa jiran datang menarik suspek,” ujarnya.
Katanya, dia terus keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran untuk menghubungi polis.
“Makcik bersyukur kerana jiran cepat datang, kalau lewat nyawa makcik pasti melayang,” katanya.
Menurutnya lagi, suspek mungkin bertindak sedemikian kerana tertekan tiada duit untuk membeli dadah.
“Dia biasanya minta RM3 daripada saya dan kejadian berlaku mungkin sebab anak saya itu tertekan tiada duit untuk beli dadah,” ujarnya. – K! ONLINE











