SEREMBAN 29 April – Seramai 46 nelayan di Port Dickson dan Telok Kemang telah dibatalkan daripada senarai penerima sumbangan elaun bahan api dan sara hidup bagi Januari dan Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, jumlah itu adalah daripada 95 nelayan yang disiasat bagi pemutihan bahan api dan sara hidup untuk dua bulan tersebut.
Katanya, sebanyak 49 nelayan telah diluluskan semula untuk menerima kedua-dua manfaat tersebut selepas siasatan dijalankan.
“Sebanyak 37 nelayan dibatalkan daripada menerima manfaat itu kerana tidak pergi ke laut manakala empat orang telah meninggal dunia dan lima yang lain tidak mengambil kemudahan itu antara lima hingga tujuh bulan,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Bakri (Amanah-Klawang) berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza (BN-Linggi) mengenai bilangan nelayan yang telah digugurkan daripada senarai penerima sumbangan sara hidup nelayan.
Bakri berkata, kriteria pemutihan penerima elaun sara hidup nelayan dibuat dengan menyemak sistem e-Diesel/e-Petrol dan siasatan dilakukan terhadap nelayan tidak membuat pembelian minyak bersubsidi selama tiga bulan berturut-turut atau jumlah pengambilan liter yang mencurigakan.
“Semakan juga dilakukan ke atas sistem e-Pengisytiharan (pendaratan ikan) terhadap nelayan yang tidak membuat pengisytiharan atau kurang daripada tiga kali sebulan.
“Pemantauan juga dilakukan secara rambang di setiap pangkalan nelayan dan melakukan siasatan terhadap aduan mengenai nelayan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











