Matanya melihat mata saya. Kaku.
Saya juga melihat matanya dan bersedia. Saya tak fikirkan dia siapa. Binatang apa. Atau keganjilan yang berada pada tubuhnya. Saya hanya fikirkan keselamatan saya. Sedikit sahaja dia melangkah, saya akan muntahkan peluru daripada senapang yang saya acukan kepadanya.
“Cubalah kau bergerak,” detik hati saya.
“Tuan, sebelum tuan menembak saya, izinkan saya bercerita. Tentang saya, dan nasihat untuk semua.”
Aneh. Makhluk ini pandai berbicara. Namun, picu di jari saya siap siagakan. “Baiklah, tapi saya akan pastikan muncung senjata ini mengarah kepada kamu.” Entah bagaimana saya boleh bersetuju tiba-tiba. Aneh.
***
Buta ingin terbang.
Ingin yang benar-benar ingin. Buta selalu cemburukan burung yang terbang melayang. Buta selalu mengikut jejak burung. Berlari-lari. Burung di atas dan Buta di bawah. Buta sengaja berbuat begitu untuk melayan keinginannya. Kadang-kadang, ekor Buta yang kecil itu terkodek-kodek seolah-olah memanggil burung untuknya mencungkil rahsia terbang. Buta tahu, rahsia terbang itu ada pada sayap.
Hajat ingin terbang itu, Buta suarakan kepada emaknya. “Aku ingin punyai sayap dan terbang. Aku ingin jadi seperti burung. Melihat dari atas. Aku sudah letih dan biasa melihat dari bawah.”
Jika emak Buta itu emak orang lain atau emak bagi spesies lain, tentu keinginan Buta itu akan diketawakan. Tapi itu emak Buta. Emak yang tidak mentertawakan hajat anaknya.
“Buta, kau memang anak yang unik. Kelahiran kau sendiri sudah begitu unik. Semasa mengandungkan kau, hanya kau sahaja anak yang ada di dalam perut. Sedangkan semua tahu, spesies macam kita, sekali beranak, berjumlah banyak anaknya. Kau memang unik kerana, semasa mengandungkan kau, emak sering bermimpi cacing-cacing tanah membuak-buak keluar dari perut bumi. Tidak tahulah apa maksudnya, tapi emak percaya, cacing itu bermaksud rezeki.”
“Dan emak menamakan aku, Buta, nama yang diambil daripada bahasa Jepun kerana emak mahu aku menjadi seperti mereka. Mereka bangsa berjaya, tidak takut untuk berfikir jauh dan yang paling penting mereka pembersih.” Buta menyampuk cakap-cakap emaknya. Bukan sekali dua emaknya bercerita tentang keunikan dia, unik itu, unik ini sehingga dia sendiri dapat menghafal pujian-pujian itu.
Emaknya tersenyum. “Emak akan tunaikan permintaan kau.”
“Permintaan untuk punyai sayap itu.”
“Ya. Tapi kamu kena berusaha. Emak sudah tua untuk meninggalkan tempat ini dan untuk berjumpa dengan ahli sihir itu.”
“Ahli sihir?”
“Ya. Namanya Si-Poli-Tikus, seorang ahli sihir yang sangat kuat. Ilmu hitamnya sangat berkuasa. Bukan setakat menjadikan kamu punyai sayap, boleh terbang, malah dia boleh membuat macam-macam lagi dengan kekuasaan dan kesaktiannya.”
“Si-Poli-Tikus!” Buta tergamam, kehairanan. Pertama kali emaknya menyebut nama itu. “Sejenis binatang apakah Si-Poli-Tikus itu?”
Semacam tahu perkara yang ada di dalam otak Buta, emaknya menjawab. “Si-Poli-Tikus ini, bukan spesies kita. Tapi menurut cerita datuk moyang, kita mempunyai pertalian darah dengan mereka. Sebab itu kita dan mereka ada sedikit persamaan. Contohnya kita suka menyondol. Mereka juga suka menyondol. Tapi ada juga perbezaan. Misalnya kita berjalan terus, mereka boleh berjalan bersimpang-siur, sekejap sana sekejap sini. Malah boleh melompat macam katak.”
Ketika emaknya bercerita. Buta cuba membayangkan. Namun, imaginasinya tidak dapat menggambarkan bentuk fizikal ahli sihir itu.
“Si-Poli-Tikus mempunyai kuasa sakti daripada air liurnya. Jika dia bercakap, dan air liurnya terkeluar, dia mampu membuat seluruh pendengarnya terpegun. Dengan kesaktiannya itulah dia menawan penduduk Lembah Bengong dan menjadi pemimpin di sana.”
“Lembah Bengong?” Semacam dirancang, emaknya mengeluarkan satu-satu nama yang tidak pernah didengarnya.
“Ya. Kamu perlu mencarinya di Lembah Bengong bagi mencapai cita-cita kamu untuk terbang.”
Kata-kata emaknya itu, membuatkan dia teruja. Cita-citanya yang selama ini dianggap tidak masuk akal akan direalisasikan. Malah, belum apa-apa lagi, Buta sudah menghebahkan kepada seluruh penduduk Daerah Kehutanan tentang niatnya.
“Gilakah si Buta itu, tiba-tiba sahaja nak terbang.”
“Adakah ahli sihir bernama Si-Poli-Tikus itu?”
“Buta itu nak memalukan keturunan kita saja.”
“Bodoh.”
“Babi.”
Bermacam-macam tuduhan negatif dilemparkan kepada Buta. Tiada satu pun yang bernuansa positif. Tapi Buta tidak peduli semua itu. Dia memegang kata-kata emaknya. Dia unik. Dan dia yakin makhluk unik ini lain daripada yang lain. Dia akan teruskan cita-citanya.
“Nanti apabila aku sudah terbang. Kau semua pasti akan terpegun. Aku akan ceritakan pada mereka semua bahawa melihat dari atas lebih asyik daripada melihat dari bawah.” Dalam fikiran Buta dia sudah menanamkan tekad untuk ‘mengajar’ penduduk Daerah Kehutanan. Dia mahu mereka malu dengan sindiran-sindiran yang diberikan mereka kepadanya. Apabila dia boleh terbang nanti dia tentu diangkat sebagai ketua. Dia akan jatuhkan Sitaring, ketua yang sudah tua dan bodoh sombong itu.
Menurut emaknya, Lembah Bengong bukan mudah untuk dimasuki. Perlukan stamina yang kuat. Hutan-hutan yang mengelilinginya sangat tebal dan mistik. Sungai-sungainya dalam. Bentuk muka buminya beralun, turun naik. Namun, ada sesuatu perkara menarik yang diberitahu emaknya. Banyak penghuni Lembah Bengong yang sudah disumpah oleh Si-Poli-Tikus. Sesiapa yang menentang Si-Poli-Tikus akan disumpah menjadi batu.
“Menurut cerita, di Lembah Bengong, penghuninya tidak boleh menggeleng. Hanya boleh mengangguk.” Buta masih ingat kata-kata emaknya itu.
Buta sudah siap sedia. Setiap hari dia akan berlatih berlari. Dia akan berlatih menuruni lurah menaiki lurah. Buta juga berlatih berenang. Dia akan berenang ke sana berenang ke sini. Lapar? Oh itu dia tidak perlu berlatih. Spesiesnya boleh menahan lapar dalam jangka waktu yang lama. Malah, binatang maserba seperti dia juga boleh makan apa-apa saja semasa di Lembah Bengong.
Kini Buta sudah bersiap siaga untuk ke Lembah Bengong. Impiannya untuk punyai sayap dan terbang akan terlaksana. Buta berangkat. Dia bergerak laju. Langkahnya umpama pahlawan yang ingin ke medan perang. Gagah.
Apabila kakinya melangkah masuk ke Lembah Bengong, Buta dapat merasakan mistik lembah ini. Benarlah seperti yang dikatakan oleh emaknya itu. Lembah ini memang lembah yang menakutkan. Sepanjang perjalanannya ketika di dalam Lembah Bengong ini, di kiri dan kanannya dia terjumpa bermacam-macam bentuk makhluk yang disumpah menjadi batu. Hati Buta mulai gementar. Dia ketakutan. Dalam fikirnya, dia terfikirkan perkara-perkara buruk. Misalnya, adakah Si-Poli-Tikus akan melayani permintaannya dengan baik atau dia akan disumpah menjadi batu!
“Ahh, aku sudah nekad. Aku perlu bertemu dengan Si-Poli-Tikus untuk mendapatkan sayap.” Buta mengembalikan keazaman dalam dirinya. Dia tidak akan berpatah balik.
Sebatang sungai menghalang perjalanannya. Buta tahu, dia perlu berenang untuk melepasi sungai tersebut. Buta tak kisah. Latihannya menyeberangi sungai yang dilakukan selama ini pasti akan membantunya. Cuma, sekarang Buta perlu mencari kawasan sungai yang punyai air cetak. Ini akan memudahkan lagi renangannya.
Ketika Buta mencari-cari tempat yang sesuai untuk memulakan renangannya, Buta terlihat sebentuk makhluk yang sudah menjadi batu. Fizikal makhluk itu seperti dirinya – gemuk, pendek dan bermuncung. Siapakah makhluk daripada spesiesnya yang disumpah menjadi batu oleh Si-Poli-Tikus itu? Adakah makhluk yang seperti dirinya itu memang penduduk Lembah Bengong ataupun orang luar? Adakah makhluk itu datang untuk memohon sayap juga?
Bermacam-macam persoalan bertandang. Dia tidak punyai jawapan. Apa yang dia tahu, Si-Poli-Tikus ini memang merupakan ahli sihir handalan. Banyak makhluk yang telah disumpah menjadi batu lantaran tidak mendengar kata-katanya.
Setelah menjumpai kawasan yang sesuai untuk memulakan langkahnya, Buta terpandang sekujur tubuh. Buta tidak jadi untuk berenang. Dia melihat makhluk yang tidak diketahuinya itu sedang tidur.
“Si-Poli-Tikus ini mulutnya ada tiga. Mulutnya lebih banyak daripada mata. Malah mulutnya lebih besar daripada otak.” Buta segera teringatkan kata-kata emaknya.
Buta yakin, makhluk yang seolah-olah sedang tidur itu ialah Si-Poli-Tikus. Buta memerhati tubuh makhluk itu. Bentuk fizikal Si-Poli-Tikus sangat aneh. Nak dikatakan berbentuk manusia, bukan. Nak dikatakan berbentuk binatang juga bukan. Fizikalnya seperti campuran manusia dan binatang.
Buta berjalan perlahan-lahan, merapati makhluk tersebut sambil cuba mengira jumlah mulut yang makhluk itu punyai. Betul makhluk yang Buta tidak tahu daripada spesies apa itu, tentunya Si-Poli-Tikus kerana mulutnya memang ada tiga.
“Aku perlu mengambil air liurnya segera.” Buta berjalan perlahan-lahan. Dalam seram sejuk ketakutan, Buta perlu mengambil air liur yang sedang meleleh daripada tiga mulut Si-Poli-Tikus itu. Air liur itu ialah sihirnya yang paling hebat.
Buta lega. Si-Poli-Tikus tidak sedar. Cepat-cepat dia sapukan air liur itu pada kedua-dua belah bahunya. Buta berniat sebanyak tiga kali. “Aku mahukan sayap … Aku mahukan sayap … Aku mahukan sayap.” Buta segera lari. Dia mahu keluar dari Lembah Bengong sebelum Si-Poli-Tikus sedar.
“Rupa-rupanya senang sahaja mendapatkan air liur Si-Poli-Tikus.” Buta tidak sangka semudah itu dia dapat mengambil air liur Si-Poli-Tikus. Kalau menurut emaknya, perjuangan untuk dia mendapatkan air liur tersebut tentunya perlu bersusah payah. Memang benar sangkaannya selama ini. Kadang-kadang makhluk itu dikenal hebat dan ditambah-tambah hebat oleh si pencerita sahaja sedangkan sebetulnya tiadalah sehebat mana pun makhluk tersebut.
“Ini mungkin rezeki aku,” ujar Buta sambil terus berlari sekuat hati. Ketika berlari, Buta dapat merasakan ada sesuatu sedang berlaku pada tubuhnya. Dia merasa kesakitan yang amat sangat. Dia terasa seperti ada sesuatu yang sedang keluar daripada bahunya. Mencucuk-cucuk.
Buta menggagahi dirinya untuk pulang ke Daerah Kehutanan. Dia sudah sampai ke sarangnya apabila dapat melihat wajah emaknya, dalam samar-samar.
Kemudian, segalanya menjadi gelap. Buta jatuh. Pengsan.
“Buta dah ada sayap.” Itulah lafaz pertama yang didengarinya apabila dia kembali membuka mata. Emaknya kelihatan begitu teruja.
Buta melihat bahu kiri dan kanannya ditumbuhi sayap. Buta tersenyum. Impiannya untuk melihat dari pandangan dari atas akan tercapai.
“Biar emak panggil penduduk Daerah Kehutanan. Biar mereka saksikan Buta terbang.”
Belum sempat Buta berbuat apa-apa, emaknya sudah menonong pergi.
Tidak lama kemudian, ketika belum pun Buta puas membelek-belek sayap yang dikurniakan kepadanya, emaknya pulang dengan segerombolan penduduk Daerah Kehutanan.
“Lihatlah, inilah anakku Buta. Buta sudah punyai sayap. Buta boleh terbang. Buta unik. Betulkan seperti yang aku katakan pada kamu semua….” Emaknya melaung penuh gembira. Buta ditarik oleh emaknya keluar dari sarang.
Bunyi bising kedengaran. Sok sek sok sek. Penduduk Daerah Kehutanan terpegun melihat badan Buta yang ditumbuhi sayap.
Daripada terkejut, Buta semakin bangga. Kini tibalah masanya dia menunjukkan kelebihannya.
Buta mengembangkan sayapnya.
Penduduk Daerah Kehutanan teruja.
Sayap, dikembangkan berulang kali. Buta menggagahi dirinya untuk terbang. Kakinya dijengkekkan. Namun, dia masih belum boleh terapung apatah lagi terbang.
Penduduk Daerah Kehutanan masih menunggu. Sok sek sok sek kedengaran lagi.
“Emmm …. begini, Buta hanya boleh terbang jika berada di tempat tinggi. Ayuh, Buta, kita ke tempat tinggi. Kita naik atas bukit.”
Emaknya memecah kebuntuan. Buta fikir, ada benar juga kata-kata emaknya itu. Buta hanya mengikut tarikan tangan emaknya untuk membawanya ke tempat tinggi.
***
Muncung senapang saya tidak berganjak, walaupun saya rasa lenguh menjalar ke seluruh tangan.
“Sebenarnya, sayalah Buta. Semasa berada di tempat tinggi itu, saya cuba terbang. Namun tak boleh. Saya sedar, saya sudah tersilap niat. Saya minta sayap, maka dapatlah sayap. Tapi saya tak boleh terbang.”
“Akibat malu yang amat sangat terutama kepada emak, saya terjun daripada bukit tersebut. Sayap saya terlucut akibat terlanggar pokok-pokok. Dan, terlantarlah saya di sini.” Sambung makhluk itu lagi.
Saya mengangguk. “Kamu sudah habis cerita. Jadi aku boleh teruskan niat aku.” Saya menarik picu.
“Eh … nanti-nanti aku belum ceritakan hal mengenai Si-Poli-Tikus itu!” jerit makhluk yang menamakan dirinya Buta itu.
Pang! Sasaran tepat di kepala. Darah memercik.
“Sembang!” Puas hati saya apabila melihat makhluk yang merosakkan batang pokok-pokok pisang, menyelongkar tanah-tanah dan merosakkan tanaman lain menarik nafas yang terakhir. “Nak terbang konon!”











