Bangunan retak: 222 penghuni pangsapuri diarahkan berpindah - Utusan Malaysia

Bangunan retak: 222 penghuni pangsapuri diarahkan berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 April – Sebanyak 222 penghuni diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas pangsapuri diduduki mereka mengalami keretakan serius sejak semalam.

Kesemua penduduk Pangsapuri Kos Rendah Taman Keramat Permai, dekat Ampang itu diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat di sini sebelum pukul 12 tengah malam.

Seorang daripada penduduk, Sukiman Mukni, 72, berkata, keretakan itu sebenarnya sudah disedari sejak 10 tahun lalu, namun pada ketika itu ia tidak terlalu serius seperti semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya keretakan ini bertambah teruk selepas hujan lebat petang semalam.

“Malah, ada kesan retak yang sampai nampak bahagian dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd. Yusof berkata, selepas meneliti keadaan bangunan dan mengadakan perbincangan dengan semua pihak, bangunan itu diputuskan sebagai tidak selamat untuk diduduki.

“Kita membuka satu pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat dekat sini dan bagi mereka yang ingin tinggal di rumah saudara dibenarkan berbuat demikian.

“Setakat ini kita dapati sebanyak 37 unit rumah yang terkesan dengan jumlah keseluruhan penghuninya seramai 222 orang,” jelasnya.

Difahamkan, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan membuat lawatan di lokasi kejadian itu pukul 3 petang esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini