LONDON 26 April – Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri berharap Antonio Rudiger akan kembali cergas sepenuhnya untuk aksi hujung minggu ini menentang Manchester United selepas kedudukan N’Golo Kante tidak dapat dipastikan.
Rudiger yang merupakan pertahanan tengah The Blues direhatkan selepas mengalami kecederaan lutut semasa tewas 0-2 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, 14 April lalu.
Kante dikeluarkan pada waktu rehat ketika Chelsea seri 2-2 dengan Burnley di Stamford Bridge selepas mengalami kecederaan belakang.
Sarri berpendapat, Rudiger sudah bersedia untuk beraksi tetapi pada masa sama dia tidak pasti sama ada Kante boleh beraksi atau tidak di Old Trafford, Ahad ini.
“Rudiger berada dalam keadaan baik ketika ini dan kami cuba memulihkan Kante tetapi saya tidak pasti dengan keadaannya,” kata Sarri.
Chelsea juga akan kehilangan khidmat Callum Hudson-Odoi kerana melakukan pembedahan Achilles dan Sarri menjangkakan pemain sayap itu akan kembali untuk aksi pra-musim, Julai ini.-AGENSI











