KUALA LUMPUR 26 April – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam kejadian di Jalan Kuching berhampiran susur Bulatan Segambut, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kemalangan berlaku semasa pemandu treler dalam perjalanan ke arah Selayang sebelum dilanggar oleh kereta Toyota Avanza kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.
“Treler tersebut dilanggar dari arah belakang sebelah kanan dan kenderaan mangsa dipercayai dipandu laju.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di kaki kanan serta badan. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sarifudin, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










