PULAU PINANG 26 April – Kerajaan Negeri Pulau Pinang disaran membina sebuah bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pusat pentadbiran baharu di dalam satu kompleks yang sama selari dengan pembangunan semasa negeri.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan pertambahan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan selain faktor keadaan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang telah digunakan sejak 1986.
Tambah beliau, cadangan itu juga mengambil kira insiden kebakaran di Komtar baru-baru ini yang menimbulkan suasana panik, kurang selesa dan kelemahan lain yang ketara.
“Justeru pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kerajaan negeri meneliti secara bersungguh-sungguh untuk pembinaan bangunan DUN baharu berserta pusat pentadbiran kerajaan secara bersama di dalam satu kompleks,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.
Baru-baru ini, kira-kira 2,000 penjawat awam berdepan detik cemas apabila sebahagian ruang legar di tingkat tiga bangunan Komtar dipenuhi asap tebal dipercayai berpunca daripada kegagalan pemampat pendingin hawa di Bilik Mekanikal berfungsi.
Menurut beliau, tapak tebus guna strategik yang akan dimiliki oleh kerajaan negeri amat sesuai bagi pembangunan yang dicadangkan tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sidang DUN kali ini dan sidang akan datang perlu diadakan di Dewan Sri Pinang memandangkan kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan di bangunan DUN.
“Kemajuan dan kepesatan pembangunan negeri ini meningkatkan permintaan dan keperluan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Oleh itu saya amat mengharapkan kerajaan negeri memandang serius usul untuk mendirikan bangunan DUN baharu bagi memberi keselesaan pada sidang serta menampung jumlah wakil rakyat, pegawai bertugas, para media dan keperluan-keperluan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE










