KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengkritik tindakan Kementerian Belia dan Sukan membawa masuk kumpulan K-Pop berpengaruh Korea Selatan iaitu BTS bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah menuntut kerajaan khususnya Menteri, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman mengkaji semula cadangan mereka membawa BTS sebagai sebahagian agenda mempromosikan negara.
Menurut Hafiz, sebagai sebuah kerajaan yang mewakili negara, mereka sepatutnya memberi peluang dan tumpuan terhadap penggiat industri kreatif tempatan untuk menjana pendapatan sehingga mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Seniman memandang serius tentang cadangan dan usaha pihak kementerian dan Perbadanan Stadium Malaysia untuk meneruskan usaha membawa kumpulan K-Pop BTS ke negara ini.
“Kami mencadangkan supaya mereka mengkaji semula hasrat yang difikirkan tidak membawa kebaikan terhadap industri hiburan negara. Seniman berharap peluang dan tumpuan dapat diberikan terhadap penggiat kreatif tempatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut Hafiz lagi, adalah lebih baik kerajaan baharu itu menumpukan usaha menyelesaikan permasalahan penggiat seni terutama melibatkan harta intelek dan perundangan khusus untuk membela nasib anak seni tempatan.
Terdahulu Syed Saddiq menyatakan pihaknya sedang berusaha membawa BTS ke Malaysia dan masih dalam peringkat rundingan.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, kedatangan BTS mampu untuk menjana pendapatan negara dan menarik pelabur berikutan kemampuan industri tempatan menganjurkan konsert untuk selebriti antarabangsa.
Namun usahanya itu telah menerima kecaman beberapa rakan artis di media sosial antaranya Sharnaaz Ahmad dan Datuk Awie.
Mereka berpendapat kedatangan BTS bukan sahaja membunuh industri negara malah tidak mengiktiraf bakat dalam kalangan penggiat seni tempatan. – K! ONLINE











