KUALA LUMPUR 25 April – Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencadangkan mekanisme kawalan harga rumah untuk membendung kenaikan harga hartanah dan mengurangkan isu-isu perumahan mampu milik di negara ini.
Naib Presiden HBA, Datuk Goh Seng Toh berkata, pelbagai langkah perlu dilaksanakan untuk menghalang pemaju daripada menaikkan harga hartanah.
Katanya, sesetengah pemaju mempunyai sindrom ‘teh tarik’ yang mana jika harga keluli meningkat 10 peratus, harga rumah turut akan naik 10 peratus.
Bagaimanapun, jelas beliau, rumah terdiri daripada pelbagai bahan. Tetapi dalam arena perumahan, kenaikan ini seolah-olah dibenarkan.
“Terdapat mekanisme kawalan harga bagi barang keperluan seperti gula dan minyak. Anda boleh mengurangkan penggunaan minyak dan gula, tetapi anda tidak boleh mengurangkan perlindungan tempat berteduh.
“Mekanisme kawalan harga tidak mustahil jika anda cukup serius,” katanya dalam sesi dialog selepas pelancaran laporan Rethinking Housing: Between State, Market and Society oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) di sini hari ini.
Meskipun begitu, Pengerusi KRI, Dr. Nungsari Ahmad Radhi mempunyai pandangan berbeza. Beliau merasakan mekanisme kawalan harga rumah tidak akan dilaksanakan.
“Jika kawalan harga dikenakan kepada pemaju, mereka akan menetapkan harga lantai dan tidak akan menjual apa-apa di bawah harga ini. Ini akan memutarbelitkan bekalan,” katanya.
Laporan kajian kepada formulasi Dasar Perumahan Negara (2018-2025) oleh KRI mendapati tahap kemampuan membeli rumah tidak bertambah baik secara ketara dari 2002 hingga 2016 berpunca daripada penawaran perumahan yang tidak responsif kepada permintaan berkesan.
Pengarah Penyelidikan KRI, Dr. Suraya Ismail berkata, agenda perumahan yang komprehensif perlu mengurus sektor perumahan secara keseluruhan dengan mengakui bahawa rumah merupakan keperluan asas dan tapak permulaan bagi pengumpulan aset.
Katanya, dasar yang hanya tertumpu sama ada kepada aspek kebajikan atau pengumpulan aset sahaja tidak mencukupi kerana mungkin mengakibatkan pengurusan ketidakseimbangan dan timbulnya masalah pengurusan sektor perumahan.
“Pengurusan sektor ini harus menjadikan ia sebagai sebuah sektor yang produktif, yang akan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.











