MELAKA – Empat wanita warga Indonesia cedera selepas bas kilang dinaiki mereka bersama 26 yang lain terbabas ke dalam parit di Jalan Bachang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, kesemua yang cedera adalah wanita dalam anggaran usia 30-an.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 70 tahun itu dalam perjalanan dari kilang di Batu Berendam menghala ke Lorong Pandan untuk menghantar penumpang.
“Bagaimanapun sebaik tiba dilokasi, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam parit di bahagian kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu empat penumpang wanita mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Afzanizar berkata, tiga mangsa dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka, manakala seorang lagi dirawat di Zon Kuning hospital sama.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kemalangan masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











