SKUAD Harimau Malaya mendapat khabar gembira apabila kedua-dua aksi playoff pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 melibatkan Malaysia menentang Timor Leste bakal dilangsungkan di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah mencapai persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kedua-dua perlawanan tersebut.
“Kita sudah menerima maklum balas menerusi e-mel yang dihantar oleh FFTL bahawa mereka secara dasarnya bersedia mengharungi kedua-dua perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Malaysia.
“Bagi pihak FAM, kita akan berusaha untuk menganjurkan perlawanan di sekitar Lembah Klang tetapi venue rasmi perlawanan masih belum diputuskan. Ini kerana kami perlu berbincang dari sudut logistik serta keselamatan bagi melancarkan proses operasi.
“Kemungkinan besar perlawanan akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor atau Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, namun keputusan lanjut hanya akan dibuat apabila FFTL memberikan surat pengesahan rasmi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Timor Leste menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah memandangkan skuad kendalian Norio Tsukitate pernah beraksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras bagi saingan Piala AFF Suzuki dan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin (kelayakan Piala Asia 2019).
Sementara itu, Stuart turut mengesahkan bahawa FAM sedang berusaha untuk meminda tarikh perlawanan pertama yang sepatutnya dilangsungkan pada 6 Jun (Selasa) kepada 7 Jun (Rabu) dan cadangan tersebut turut dipersetujui oleh FFTL.











