KUALA LUMPUR 25 April – Jenama alat memasak terkemuka, Tefal melancarkan satu siri produk inovatif dalam program ‘Tefal Home of Innovation’ di Pusat beli Belah One Utama dekat sini hari ini.
Naib Presiden (Pasaran) Tefal Asia Pacific, Sebastian Alegre berkata, pihaknya bangga kerana berjaya memperkenalkan produk baharu kepada pelanggannya supaya dapat menyediakan masakan lebih sihat dan mempromosikan gaya hidup berkualiti.
“Pelbagai alat memasak yang unggul direka khas dengan menggunakan teknologi Thermo-Spot, dimana teknologi itu mampu memberi isyarat bahawa suhu periuk sudah sampai pada tahap kepanasan yang sesuai untuk memasak.
“Teknologi tersebut juga mampu mengurangkan 20 peratus karbohidrat dalam nasi bagi periuk nasi dan teknologi Nutrikeep dalam alat pengisar mampu menyimpan banyak nutrien,” katanya dalam majlis pelancaran Tefal Home of Inovation dekat sini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Parkson Malaysia, Law Boon Eng; Duta Besar Perancis – Malaysia, Frederic Laplanch; Pengurus Kumpulan Seb Malaysia, Jack Wong dan Pengurus Besar One Utama, Patrick So.
Sebastian Alegre menambah, terdapat lima produk baharu Tefal antaranya periuk dan kuali titanium dan keluli; periuk nasi Spherical; pemanggang elektrik Optigrill; pengisar Ultrablend Boost Vacuum dan seterika Steam Generator.
“Saya yakin produk-produk yang diperkenalkan itu mampu mengubah cara makan dan memberikan gaya hidup sihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











