PUTRAJAYA 25 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan buku panduan menjalankan perniagaan e-dagang khusus kepada peniaga bagi membanteras penipuan dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buku tersebut merupakan inisiatif Quick Win di bawah Pelan Tindakan Bersepadu E-Dagang yang memberi panduan kepada peniaga dalam talian berkaitan senarai semak perlu ada sebelum melakukan transaksi.
“Selaku kementerian yang bertanggungjawab melindungi kepentingan pengguna, buku panduan ini memberi pelbagai panduan dan cara untuk menjalankan perniagaan dalam talian dengan beretika kerana aduan penipuan mengenainya semakin meningkat dan membimbangkan.
“Sehingga Mac tahun ini, kementerian telah menerima sejumlah 24,000 aduan pengguna dengan 30.8 peratus daripadanya berkaitan harga, transaksi dalam talian (23.7 peratus) dan perkhidmaan mengelirukan (16.2 peratus),” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan KPDNHEP dan pelancaran buku tersebut, di sini hari ini.
Kata Saifuddin Nasution, buku panduan tersebut akan diedarkan secara percuma dan dimuat naik dalam portal KPDNHEP bermula Isnin ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya bercadang menaikkan kadar penalti bagi kesalahan melibatkan penipuan dalam talian.
“Sekarang ini had maksimum sesuatu kes yang diselesaikan, penaltinya adalah RM25,000 sedangkan trend penipuan dalam talian semakin meningkat.
“Kita kini sedang dalam proses mahu meningkatkan jumlah denda kepada RM50,000 bagi menimbulkan gerun kepada peniaga yang berhasrat untuk melakukan penipuan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan sedang memperhalusi senarai tambahan barang kawalan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat.
Katanya, barangan tersebut yang telah dikenal pasti masih dalam proses perbincangan dengan pihak berkepentingan agar bekalan tidak terjejas.
Tanpa mendedahkan jumlah dan jenis barangan itu, beliau berkata, perkara berkenaan turut dipersetujui dalam Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Bilangan dan jenis masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Veterinar dan persatuan pemborong sayur,” katanya.
Sebanyak 22 barang disenaraikan dalam kategori harga kawalan pada masa ini termasuk gula, tepung, minyak, petrol serta diesel. – UTUSAN ONLINE











