NEW YORK 24 April – Mohamed Salah menyertai bintang ternama Hollywood dan ahli politik terkenal pada majlis Time 100 Gala di New York, selepas dia dinamakan sebagai individu berpengaruh oleh majalah Amerika Syarikat (AS) itu.
Penyerang Liverpool itu berlaga bahu dengan beberapa individu ternama dalam industri muzik, filem dan televisyen pada upacara karpet merah selepas dipilih daripada enam bintang menjadi penghias muka depan majalah tersebut.
Selain Salah, lima lagi personaliti yang terpilih ialah Taylor Swift, Jimmy Fallon, Brie Larson, Naomi Campbell dan Dwayne Johnson yang turut hadir pada majlis gala itu.
Pemain berusia 26 tahun itu melakukan perkongsian menerusi akaun Instagram gambarnya yang menjadi penghias muka depan sewaktu pengumuman dibuat dan Salah berkata, menjadi satu penghormatan buatnya apabila berada di dalam senarai 2019 sebagai individu berpengaruh.
Pelawat Britain dan peminat Liverpool, John Oliver yang mencalonkan Salah dalam kenyataannya berkata, dia amat menggemari bintang bola sepak itu.
“Salah memiliki budi pekerti yang sangat baik, mengatasi kehebatannya sebagai pemain bola sepak,” katanya. – AGENSI











