KUALA TERENGGANU 24 April – Lebih 1,000 nelayan di seluruh negara berhimpun di muara Sungai Terengganu di sini hari ini bagi menuntut campur tangan kerajaan berhubung isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Dungun, Bahiyuddin Awang Harun berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas termasuk membatalkan kesemua pemberian lesen laut dalam yang diluluskan kepada nelayan asing terutama dari Vietnam.
Katanya, berdasarkan angka yang diterima, masih terdapat kira-kira 100 buah bot yang diusahakan warga Vietnam dikesan aktif di perairan negara.
“Mereka aktif mengaut hasil laut dengan begitu rakus selain memiliki permit dan lesen serta bot Malaysia.
“Hasil yang dibawa balik ialah ikan baja dan ‘ikan potong kepala’. Ikan komersial yang berkualiti tinggi, semuanya dipunggah siap-siap di tengah laut untuk dibawa balik ke negara mereka,” katanya kepada pemberita dalam himpunan bantahan secara aman nelayan di Pesisir Payang di sini.
Perhimpunan bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang itu disertai wakil dari setiap negeri antaranya Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.
Menurut Bahiyuddin, kumpulan nelayan asing itu dikesan aktif mengaut hasil laut sejak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan lesen itu 15 tahun lalu.
“Nelayan Vietnam yang didaftarkan dan diberi permit dan guna bot negara kita, jadi nelayan di tempat kita, perlu diambil tindakan keras kerana mereka yang diberi permit inilah menjadi punca masalah utama.
“Mereka juga menggalakkan pencerobohan nelayan asing yang lain dengan memberi maklumat kepada orang kampung mereka supaya menceroboh perairan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE











