LONDON 24 April – Persatuan Bola Sepak (FA) England akan memansuhkan tradisi meraikan pemenang Piala FA dengan minuman alkohol champagne sebagai menghormati pegangan agama pemain.
Badan induk bola sepak England itu, mempunyai tradisi meletakkan champagne di dalam bilik persalinan pada perlawanan akhir sebagai ucapan tahniah kepada pemenang.
Namun, selepas rundingan dalaman yang dilaksanakan, FA bercadang untuk memansuhkan idea tersebut sebagai menghormati para pemain yang mana agama mereka melarang pengambilan alkohol.
Agama Islam melarang penganutnya mengambil alkohol, malah, agama lain juga tidak menggalakkan perbuatan tersebut. Terdapat juga sesetengah pemain yang sememangnya tidak mengambil alkohol dan di atas faktor itu, FA membuat pertimbangan tersebut.
Suasana para pemain menyembur champagne di dalam bilik persalinan selepas kemenangan dalam perlawanan akhir telah menjadi amalan tradisi sejak bertahun lamanya. Namun, keadaan itu telah menyulitkan pemain beragama Islam, walaupun mereka tidak menikmati champagne tersebut.
FA, sebaliknya akan menggantikan champagne tanpa alkohol untuk diletakkan di dalam bilik persalinan, jadi para pemain masih boleh meneruskan amalan menyembur minuman itu sewaktu meraikan kemenangan mereka.
Keputusan FA tersebut dipercayai bukan disebabkan aduan daripada pasukan ataupun pemain, tetapi kerana gesaan oleh organisasi. Media Britain, Sportsmail difahamkan FA telah mempertimbangkan untuk melaksanakan perubahan itu lebih awal, tetapi, mereka dalam masa sama enggan dilabelkan sebagai ‘pembunuh’ kepada pemain yang hendak berpesta.
Badan induk itu telah berusaha melakukan yang terbaik untuk menangani isu melibatkan berbilang kaum dan pegangan agama yang telah menjadi kelaziman dalam bola sepak sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Langkah itu sebagai bukti komitmen FA terhadap kerja keras mereka selama ini.
Watford bakal berdepan Manchester City dalam perlawanan akhir pada 18 Mei ini. Pemain tengah Watford, Abdolulaye Doucoure, bersama bintang Manchester City, Riyad Mahrez, Benjamin Mendy dan Ilkay Gundogan merupakan penganut agama Islam.
Liga Perdana Inggeris telahpun berhenti memberikan champagne kepada pemain yang menerima anugerah pemain terbaik perlawanan pada 2012, selepas beberapa pemain beragama Islam enggan menerima dan memegang botol minuman beralkohol itu.
“Pasukan yang muncul selaku pemenang akan diberikan champagne tanpa alkohol untuk meraikan kejayaan mereka dan ia akan bermula daripada perlawanan akhir Piala FA tahun ini.
“Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pemain dan komuniti yang melarang pengambilan alkohol, begitu juga terhadap pemain yang berusia di bawah 18 tahun,” kata jurucakap FA. – AGENSI











