KUALA LUMPUR April 24 – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat untuk menembusi pasaran China perlu memanfaatkan Ekspo ASEAN (CAEXPO 2019) di Nanning, pintu masuk ke bandaraya peringkat kedua dan ketiga.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Sharimahton Mat Saleh berkata, perniagaan sering mengabaikan peluang yang ditawarkan oleh pasaran ini yang masih memerlukan pelbagai pembangunan.
“China mempunyai penduduk 1.4 bilion orang dan sering kali kita terlepas pandang bahawa terdapat pelbagai peluang di China.
“Ia merupakan pasaran eksport terbesar bagi tahun ke-10 berturut-turut (untuk Malaysia) dan masih berkembang pada lapan peratus setahun,” katanya di sini hari ini.
Sharimahton berkata, dengan memberi tumpuan kepada pasaran tersebut, PKS akan dapat memahami keperluan mereka dan mempromosikan produk yang betul.
“Nanning sahaja mempunyai 6.9 juta penduduk dengan permintaan pengguna meningkat dengan ketara. Bandaraya seperti Nanning menyediakan kemasukan yang baik untuk syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran China,” katanya sambil menambah bandaraya utama seperti Beijing dan Shanghai terlalu sesak dan amat berdaya saing untuk pendatang baharu.
Katanya, pasaran peringkat kedua lain yang berpotensi ialah Wuhan, Hangzhou serta Zhengzhou dan beliau menggesa perniagaan menyertai edisi ke-16 CAEXPO yang akan diadakan dari 20 hingga 23 September tahun ini.
Pavilion Malaysia terdiri daripada 180 gerai dan sektor tumpuan yang dipromosikan adalah makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup, francais dan perkhidmatan profesional.
“Bagi sektor perkhidmatan, kami akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang berpotensi tinggi seperti pendidikan, pelancongan, penjagaan kesihatan, francais dan logistik,” kata Sharimahton.
Setakat ini, 150 syarikat telah memohon untuk menyertai CAEXPO 2019. – BERNAMA











