Kajian yang dijalankan oleh syarikat media digital kanak-kanak, TotallyAwesome menunjukkan purata lapan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia memilih internet berbanding televisyen. Hasil kajian itu adalah daripada analisis terbaharu bertajuk ‘Kanak-Kanak Malaysia, Wawasan Digital’ (Malaysia Kids’ Digital Insights) yang memaparkan tentang tingkah laku kanak-kanak terhadap digital, penggunaan media dalam talian dan peranti serta isi kandungan dan pilihan jenama. Antara hasil kajian itu adalah seperti berikut:
- Enam daripada 10 kanak-kanak memiliki telefon pintar
Trend itu semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini menunjukkan kanak-kanak lebih suka peranti mudah alih telefon pintar iaitu sebanyak 88 peratus, diikuti tablet (47 peratus) dan televisyen (45 peratus).
TotallyAwesome mendapati salah satu sebab peningkatan itu adalah kerana kira-kira 60 peratus kanak-kanak mempunyai telefon pintar sendiri, 36 peratus memiliki tablet manakala hanya 22 peratus lebih suka kepada televisyen.
Dengan penguasaan peralatan mudah alih yang tinggi, bukanlah mengejutkan apabila digital menjadi sumber rujukan maklumat yang utama. Kajian menunjukkan lebih 90 peratus kanak-kanak menyatakan mereka mendapat tahu mengenai pelancaran produk permainan terbaharu melalui internet, hanya 62 peratus mendapat tahu maklumat yang sama melalui televisyen.
- Dalam talian (online) memacu pembelian iklan
Dalam pada itu, kajian tersebut mendapati kesan peningkatan pengiklanan dalam talian menyebabkan lapan daripada 10 ibu bapa mengaku bahawa mereka membeli produk untuk anak-anak setelah anak-anak melihat iklan mengenainya di dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif TotallyAwesome, Quan Nguyen, berkata, pihaknya mendapati kanak-kanak di Malaysia sangat vokal dan fanatik terhadap isi kandungan yang mereka lihat di dalam talian.
“Dengan penguasaan telefon pintar, kita dapat melihat betapa kuatnya pengaruh dalam talian terhadap kanak-kanak. Pihak pemasaran jenama nampaknya bijak ‘memancing’ kanak-kanak dalam era digital ini, berbanding mengikut strategi yang ketinggalan zaman,” katanya dalam satu kenyataan.
- 94 peratus kanak-kanak di Malaysia mempunyai kuasa membeli
Dalam perkembangan era digital dan dalam talian, kanak-kanak dilihat memiliki kuasa membeli. Ini kerana sembilan daripada 10 kanak-kanak menerima duit poket daripada ibu bapa dan satu pertiga daripada mereka menerima duit poket setiap hari.
Kajian juga mendapati kanak-kanak Malaysia tahu apa yang mereka nak beli apabila mereka mampu mempengaruhi ibu bapa supaya membuat pembelian tersebut. Manakala 77 peratus kanak-kanak masih meminta ibu bapa membelikan mereka produk. Hampir 30 peratus pula akan membuat pembelian secara dalam talian dengan duit poket sendiri. Ibu bapa juga membuat keputusan terhadap cadangan anak-anak dan mempengaruhi mereka mengenai pilihan tempat makan (80 peratus), jenis snek (78 peratus) atau permainan (74 peratus) yang mereka nak beli, termasuk filem yang mahu ditonton (67 peratus).
Berdasarkan kajian yang dilakukan ini, snek (60 peratus), minuman (54 peratus), makan di luar (36 peratus), buku/komik (29 peratus) dan permainan (22 peratus) merupakan item paling popular yang kanak-kanak beli menggunakan duit poket sendiri.
Menurutnya, kajian mendedahkan kuasa kanak-kanak mengatasi apa yang mereka mahu. Mereka ada cara tersendiri sama ada menjadi pembeli secara langsung dengan duit poket sendiri atau menggunakan kuasa ‘mengganggu’ ibu bapa untuk mendapatkan apa yang dihajati.
“Pihak pemasaran mungkin perlu mengiktiraf dan mengakui pengaruh yang sangat besar terhadap generasi Alpha dan GenX,” tambah Nguyen.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memahami tingkah laku digital dan media, duit poket dan perbelanjaan, kuasa ‘mengganggu’ ibu bapa dan kesedaran tentang jenama dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, boleh berhubung dengan tim TotallyAwesome di [email protected].











