TLDM sasar lebih 45,000 pengunjung hadir ke Hari Terbuka Armada - Utusan Malaysia

TLDM sasar lebih 45,000 pengunjung hadir ke Hari Terbuka Armada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyasarkan lebih 45,000 kunjungan orang ramai ke Hari Terbuka Armada sempena sambutan Hari TLDM ke-85 di Tambatan Pangkalan Lumut di Pangkalan TLDM Lumut di sini yang bermula hari ini.

Sambutan kali ini lebih istimewa apabila buat julung-julung kalinya juga pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu F/A-18D Hornet turut melakukan demonstrasi ketenteraan ‘flypast’.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya, Datuk Rusli Ramli berkata, demonstrasi pada kali ini berbeza daripada sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini demonstrasi banyak di lautan dan kali ini kita memberi lebih tumpuan kepada operasi membabitkan PASKAL di bangunan dan untuk pertama kalinya juga kita menampilkan jet pejuang TUDM yang memberikan kelainan pada hari terbuka kali ini.

“Pengunjung dilihat begitu teruja dengan demonstrasi yang dijalankan, setakat pukul 10 pagi tadi kira-kira 3,500 pengunjung hadir memeriahkan hari terbuka dan dijangka angka itu akan terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Armada di sini hari ini.

Katanya, demonstrasi itu juga menunjukkan keupayaan dan kesiapsagaan anggota dan aset TLDM dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutama pasukan PASKAL yang sentiasa bersedia bukan saja di laut malah di darat.

“Justeru itu, orang ramai dialu-alukan datang hari terbuka armada dan mengambil peluang ini untuk menyaksikan sendiri acara yang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Rusli berkata, pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang dua hari program tersebut diadakan antaranya lawatan kapal dan aset TLDM, promosi kerjaya TLDM, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta perkhidmatan pemeriksaan gigi dan kesihatan yang dibuka kepada orang ramai.

“Pasukan Brass Band TLDM dan Kawad Senyap juga akan membuat persembahan pada sebelah petang kedua-dua hari tersebut.

“Di samping gerai pameran, terdapat kira-kira 40 buah gerai jualan makanan dan minuman selain perkhidmatan food truck juga disediakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini