JUPITER, Florida – Seorang jurugambar sempat merakam kejadian pelik yang menunjukkan seekor anak itik jenis wood tinggal bersama dan dijaga oleh burung hantu di dalam sarangnya di sini baru-baru ini.
Laurie Wolf dari pekan Jupiter pada mulanya menyangka burung hantu jenis eastern screech yang tinggal dalam sebatang tiang batu dan gemar menghasilkan bunyi nyaring kerana menjaga anaknya.
Selepas melakukan penelitian, Wolf terkejut apabila melihat ada seekor anak itik berwarna kuning tinggal bersama di dalam sarang burung hantu berkenaan.
“Kedua-duanya duduk sebelah-menyebelah. Saya masih tidak boleh percaya apa yang dilihat sehingga hari ini,” kata Wolf kepada majalah National Geographic.
Fenomena itu berlaku kerana itik wood lazimnya akan bertelur di beberapa sarang burung lain dengan harapan telur berkenaan akan menetas. Tindakan itu dikait dengan meneruskan survival spesies itik berkenaan. – Agensi











