Ahli Dewan Negara nyaris ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Ahli Dewan Negara nyaris ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 April – Setiausaha Agung Wanita MCA, Datuk Ong Chong Swen nyaris kerugian puluhan ribu ringgit selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia, dua bulan lalu.

Dalam kejadian pada 4 Februari lalu, mangsa berusia 60-an itu menerima panggilan telefon daripada kakitangan Telekom pada pukul 10 pagi yang mendakwa terdapat nombor telefon di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan didaftarkan atas namanya telah terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Chong Swen yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata, wanita tersebut kemudian menyambungkan talian telefon kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mohd. Azahari Narita dari Balai Polis Seremban untuk membuat laporan.

“Anggota polis tersebut memberitahu telah membuat semakan ke atas nama saya dan mendakwa saya telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

“Anggota polis itu kemudian menyambungkan talian kepada Sarjan Mejar Mok Chun Wen dan pegawai penyiasat, Tuan Zaki Kuros yang berkali-kali meyakinkan saya hal tersebut perlu diselesaikan hari ini jika tidak mahu terlibat dalam masalah lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Menurut Chong Swen, mereka kemudian menyambungkan talian kepada Inspektor Nurmila yang memberitahu dia hanya mempunyai dua cara untuk menolong menyelesaikan perkara tersebut.

“Inspektor Nurmila menegaskan akan mengeluarkan waran terhadap saya untuk disiasat atau meminta pihak mahkamah menyiasat keadaan kewangan saya.

“Seterusnya, saya diminta untuk mengeluarkan wang saya yang ada di bank untuk dimasukkan ke dalam satu akaun yang akan ditetapkan. Bagaimanapun, saya menyedari ini adalah satu penipuan yang cuba dilakukan oleh sindiket dan terus memutuskan talian telefon,” ujarnya.

Tambah Chong Swen, satu laporan polis telah dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang jaya pada hari kejadian.

“Saya terpanggil untuk membuat sidang akhbar pada hari ini selepas dua bulan kejadian kerana baru-baru ini juga terdapat beberapa rakan yang nyaris ditipu dengan modus operandi sama,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini