Muslim sembah Kaabah? - Utusan Malaysia

Muslim sembah Kaabah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA Muslim menyembah Allah SWT dan bukannya objek, mengapa semua orang Islam akan menghadap Kaabah ketika solat seolah-olah menyembah kotak hitam bersegi empat itu?

Itulah antara persoalan sering dilontarkan golongan bukan Muslim melihat senario umat Islam beribadah sebagaimana dipaparkan dalam televisyen atau gambar.

Mengulas persoalan itu, pendakwah Yayasan Hidayah Centre (HC), Hannan Aminuddin berkata, hal itu adalah penilaian biasa jika melihat seseorang meletakkan sesuatu di depan dan sujud padanya.

Cuma, beliau yang ditemui di HC Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini menambah, masalah utama adalah majoriti Muslim tidak mampu menyediakan jawapan logik akal apabila ditanya oleh bukan Islam.

Dalam masa sama, beliau juga percaya bahawa ada dalam kalangan Muslim yang tidak tahu dan memahami dengan jelas kenapa wajib mengadap Kaabah, Masjidilharam, Mekah.

KAABAH bukan objek sembahan umat Islam.
KAABAH bukan objek sembahan umat Islam. 

Mungkin juga antara jawapan yang kerap menjadi pilihan adalah ia sebagai satu ikon kesatuan umat Islam ketika solat dan juga berdoa kepada Allah SWT walaupun di mana sahaja atas muka bumi ini.

“Sebenarnya jika diteliti surah al-Baqarah ayat 144, kita sudah boleh menyediakan jawapan logik akal kerana mana mungkin suatu bahan sembahan boleh berubah begitu sahaja.

“Pada awalnya, kiblat solat umat Islam adalah Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis tetapi beberapa bulan selepas berlaku hijrah umat Islam ke Madinah, kiblat tersebut berubah ke Masjidilharam, Mekah,” kata Eksekutif Media HC itu.

PIJAK KAABAH

Dalam sejarah pembukaan Kota Mekah, Rasulullah SAW bukan hanya memusnahkan berhala yang ada sekitar Kaabah, bahkan menyuruh Bilal bin Rabbah melaungkan azan atas Kaabah.

Kisah itu, kata Hannan bukan hanya memberi gambaran bahawa Bilal yang berkulit hitam dan bekas hamba abdi memanggil umat Islam untuk menunaikan solat, tetapi pastinya tidak masuk akal untuk kita pijak jika ia suatu benda sembahan.

Malah tambahnya, ada seorang sahabat Rasulullah iaitu Sayidina Umar al-Khattab pernah mengatakan bahawa jika Nabi SAW tidak mencium batu hajarul aswad, maka dia tidak akan sesekali melakukannya.

“Kalau sebagai bahan sembahan sepatutnya, ia disanjung dan dimuliakan, tetapi apa berlaku sebaliknya dan antara contoh, kita sendiri pun banyak kali memijak dan melangkaui Kaabah ketika merapatkan saf untuk menunaikan solat berjemaah.

“Ada masanya kita juga sering duduk atas Kaabah sama ada untuk berzikir selepas solat, membaca al-Quran atau mengikuti aktiviti tahlil tanpa rasa bersalah,” kata beliau lagi.

Selain itu, Hannan berkata, secara kelazimannya sesuatu berhala dicipta berasaskan benda hidup sama ada haiwan atau manusia yang dianggap mulia tetapi tidak pada Kaabah sejak ia mula dibina pada zaman Nabi Ibrahim a.s.

“Binaannya seperti sebuah kotak hitam bersegi empat yang tidak ada kaitan langsung dengan apa-apa benda hidup atas muka bumi ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×