SABAK BERNAM – Tindakan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar membawa beg plastik di dalam hutan paya bakau membongkar penemuan dadah jenis heroin bernilai RM1,300 di Sungai Besar, Sabtu lalu.
Suspek berusia 34 tahun itu diberkas pukul 8.40 malam menerusi Ops Sarang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui empat peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 43.64 gram.
Katanya,siasatan awal mendapati suspek merupakan pengedar dadah kecil-kecilan dengan menjadikan paya bakau lokasi pengedaran.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
“Bagaimanapun, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan merupakan PATI,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, suspek direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











