Pengasuh didakwa aniaya bayi perempuan 6 bulan - Utusan Malaysia

Pengasuh didakwa aniaya bayi perempuan 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganiaya bayi perempuan yang diasuhnya berusia enam bulan pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Nur Amirah Dayana Md. Darus, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengasuh bayi perempuan berusia enam bulan itu didakwa menganiaya bayi tersebut di Pusat Snuker 1st Champion, tingkat bawah fasa 1C, Seri Manjung, Manjung, kira-kira pukul 2 petang, 23 Mac 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen sama yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mahinderjit Singh.

Mohamad Nazreen mencadangkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun Mahinderjit Singh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah.

Azman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 17 Mei depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini