KUALA LUMPUR 17 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dengan isu integriti termasuk salah guna kuasa dan rasuah.
Pengarahnya, Datuk Ismail Mohd. Zawawi berkata, jabatan tersebut mempunyai unit integriti yang sentiasa aktif memantau anggotanya dari semasa ke semasa.
“Kita ada 377 anggota di JPJWPKL dan agak mustahil kalau saya mahu pantau sendiri, sebab itu kita ada unit integriti, kita juga ada pegawai penyelia yang akan pantau mereka. “Malah kita juga ada unit kaunseling, sekiranya anggota dikesan membuat salah laku, mereka akan dihantar ke situ dahulu sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari JPJ ke-73 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan 23 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata JPJWPKL menahan sembilan lelaki dipercayai ulat teksi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dekat sini bermula Mac hingga Rabu lepas.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun yang kebanyakannya merupakan pemandu teksi.
“Ulat teksi ini akan mendesak atau memujuk pelanggan menggunakan khidmatnya dan meminta bayaran sebanyak RM30 sekiranya pelanggan ingin mendapatkan pengangkutan ke mana-mana destinasi. “Berdasarkan risikan, operasi ulat teksi ini kebiasaannya bermula pukul 4 pagi hingga 7 pagi,” ujarnya.
Beliau berkata sebanyak 16 anggota JPJ ditempatkan di TBS bagi membanteras kegiatan seperti ulat teksi, ulat tiket serta memantau perjalanan bas. “Bagi lokasi seperti Hentian Duta pula, pihaknya akan menempatkan anggota sekiranya terdapat aduan kegiatan ulat tiket di lokasi itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











