KUALA LUMPUR 17 April – Pengendali Selangor, B. Sathianathan kecewa dengan prestasi sesetengah pemainnya dan percaya mereka perlu memperbaiki ‘mental’ selepas rebah 1-2 kepada Felda United pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Selepas mendahului 1-0 menerusi Syahmi Safari pada minit ke-55, Red Giants seperti hilang fokus dan membenarkan Felda bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-65.
Kapten Felda, Hadin muncul wira pasukannya apabila meledak gol kemenangan menerusi larian solo, dua minit sebelum tamat permainan untuk membawa The Fighters ke suku akhir.
“Ia sangat teruk. Kami mengawal permainan tetapi pemain kemudian mengambil mudah selepas mendahului 1-0.
“Ada beberapa pemain yang sangat mengecewakan. Mereka fikir ia mudah kerana kami menguasai perlawanan.
“Namun, pada 20 minit terakhir mereka (Felda) menunjukkan kebangkitan dan kami dihukum di hujung permainan.
“Tiga pertahanan kami tewas dengan larian solo Hadin dan saya benar-benar tidak faham kerana dalam bola sepak kita kena beri tumpuan sepanjang 90 minit.
“Ada beberapa pemain yang kena perbaiki mental kerana saya tidak fikir mereka bagi yang terbaik malam ini,” kata Sathianathan.
Ini kekalahan pertama Selangor selepas enam perlawanan (dalam semua pertandingan), dan ia memberi tamparan hebat buat Red Giants kerana Piala FA antara yang disasarkan musim ini.
Turun sebagai juara paling banyak iaitu lima kali, mereka dianggap antara pilihan untuk merampas kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2009, apatah lagi Red Giants merupakan naib juara tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











