PADANG BESAR 17 April – Raja Muda Perlis menitahkan supaya golongan pelajar supaya mempunyai jatidiri yang kuat sebagai benteng daripada terjerumus kancah yang tidak diingini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah golongan pelajar harus memiliki kekuatan dan motivasi diri yang tinggi, berpegang teguh kepada suruhan dan ajaran agama, memperkasakan jati diri, menyuburkan sifat dan pekerti mulia, bijak memilih rakan sebaya serta mematuhi setiap peraturan agar dapat membenteng diri daripada dipengaruhi dan seterusnya terjerumus ke dalam sebarang kancah yang tidak diinginkan.

Raja Muda Perlis bertitah, oleh itu Perlis sama-sama berusaha mewujudkan generasi belia yang cemerlang dengan memperkasakan lagi sahsiah serta moral mereka disamping memberi bimbingan berterusan yang sempurna. Bertindaklah dengan lebih efisyen di dalam menangani sebarang kepincangan sosial yang secara jelasnya memberikan implikasi secara langsung kepada belia, keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negeri dan negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman Tahun 2019’ di Dewan Datuk Mahmud Hj Hashim, Beseri, di sini, semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan, Izmi Ismail dan Pengetua, Ayub Ahmad dan turut hadir ialah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Datuk Johari Mohd Darus dan Pengurus Unit Perkhidmatan E-Idaman bagi Negeri Perlis, Mohd Noor Effandy Mat Arop serta 360 pelajar.
Program masuk tahun ke-12 itu adalah anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menambah bahawa sebagai ibu bapa dan guru, sudah pasti isu masalah sosial ini amat membimbangkan dan ia menjadi antara bentuk ‘cabaran’ yang harus ditempuhi serta dipikul dalam dunia yang serba moden ini.
Justeru itu, baginda amat berharap agar pihak sekolah sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dan melipatgandakan kerjasama pintar dengan pihak-pihak seperti polis serta agensi berkaitan lain serta komuniti setempat dalam usaha kita menangani gejala sedemikian.
Bersempena kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan ‘Dewan Terbuka Serbaguna Syed Sirajuddin Areeb Putra’ sekolah berkenaan.
Dewan yang diterima pada 2017 itu boleh digunakan sebagai sama ada gelanggang bola baling, bola tampar, bola jaring atau tiga gelanggang sepak takraw pada satu-satu masa.
Baginda turut melawat ‘Lazaritz Oven’ yang diperkenalkan di Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran (PPKIP) yang merupakan projek bakeri singkatan daripada perkataan lazat, laris dan oven sekolah itu. – UTUSAN ONLINE











