MIAMI – Sepasang ibu bapa mendakwa anak mereka yang menderita penyakit autisme dan bisu akhirnya mampu mengungkapkan satu ayat lengkap selepas beberapa jam menjalani suntikan sel stem baru-baru ini.
Danny Bullen, 11, yang tinggal di Pulau Tenerife, Sepanyol bersama ibu bapanya berlepas ke Miami, Amerika Syarikat pada bulan lalu untuk menjalani rawatan tersebut.
Pada hari berikutnya, ibu kanak-kanak itu, Irma Guanche, 45, mendakwa Danny menyebut, ‘dame mas papas, por favor’ yang bermaksud ‘tolong berikan saya lebih banyak ubi kentang’.
“Danny menjalani rawatan pertamanya pada bulan Mac lalu. Kesan perubahan awal nampak amat menggalakkan menerusi ungkapan beberapa perkataan asas. Terapi sel stem memerlukan dua hingga tiga rawatan dan kami berharap dapat membawa Danny menjalani sekurang-kurangnya dalam dua sesi,” kata Guanche.
Danny disahkan menghidap autisme pada tahun 2010 selepas perkembangan dan keupayaan komunikasinya terbantut. Kanak-kanak itu tidak mampu bercakap selain tidak berupaya menggunakan tandas tanpa bantuan. – Agensi











