WASHINGTON 16 April – Sekumpulan bekas ahli politik Eropah menyerahkan memorandum kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya menolak pelan damai Israel-Palestin tajaan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat menguntungkan sebelah pihak dan ketidakadilan kepada Palestin.
Press TV melaporkan, memorandum ditujukan kepada Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini selain diserahkan kepada akhbar The Guardian untuk disiarkan dan ditandatangani 25 bekas Menteri Luar, enam bekas Perdana Menteri dan dua bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Memorandum berkenaan dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump bersiap sedia mengumumkan pelan damai yang dikatakan ‘perjanjian abad ini’ terhadap konflik Israel-Palestin.
Menurut kandungan surat yang meminta penyelesaian dengan jaminan kedaulatan penuh Palestin itu, tiba masanya Eropah berpendirian dalam lingkungan prinsip mereka bagi keamanan di Asia Barat.
“Kami yakin bahawa pelan itu (tajaan AS) ‘mengurangkan’ kewujudan negara Palestin kepada entiti yang tidak mempunyai kedaulatan, sempadan wilayah,” jelas surat itu.
Mereka turut mengkritik pentadbiran Trump kerana tidak mengambil peduli ‘gangguan’ akibat peluasan penempatan haram yang disokong oleh Benjamin Netanyahu.
Sementara itu, agensi berita Ma’an melaporkan, Perdana Menteri Palestin, Muhammad Ishtayeh meminta negara Arab ‘menyalurkan bantuan kewangan bagi Pihak Berkuasa Palestin yang dalam keadaan kritikal’.
Muhammad juga berikrar untuk mengukuhkan ketabahan rakyat Palestin dalam berhadapan dasar penempatan haram Israel di samping membekalkan mereka dengan perlindungan.
Dalam perkembangan lain, satu kebakaran tercetus di kawasan kompleks Masjid al-Aqsa, pada waktu sama Gereja Notre Dame terbakar di Perancis, awal pagi ini.
Rakaman video menunjukkan asap tebal dan api menyala dari struktur dikenali sebagai Masjid Marwani.











