PALU, INDONESIA 16 April – Enam bulan selepas berlakunya tragedi gempa bumi, tsunami dan pencairan tanah (likuifaksi) di kota Palu yang mengorbankan ribuan nyawa, krisis kedua muncul ketika kerja-kerja pemulihan berdepan halangan besar.
Penduduk di Palu pula berasa seperti tidak diendahkan dan merayu agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera.
AP melaporkan, beribu-ribu mangsa di Sulawesi masih tinggal di bawah khemah, sementara pembinaan rumah kekal belum dimulakan.
Kebanyakan kediaman sementara juga tidak dapat didiami selepas pihak berkuasa gagal menghubungkan unit-unit rumah itu dengan bekalan elektrik serta air.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang sedang mencari sokongan untuk penggal kedua pemerintahan dalam pemilihan umum (Pemilu) dan gandingannya, Ma’ruf Amin berjanji menyalurkan segera bantuan kewangan, tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Sepertinya kami (mangsa bencana) di Palu ini sudah dilupakan. Kami tidak menerima bantuan sejak dua bulan lalu,” jelas Ade Zahra, ibu kepada lapan anak yang tinggal di sebuah khemah dekat sini.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan melahirkan rasa bimbang bahawa kekecewaan dalam kalangan mangsa terhadap bantuan yang dijanjikan akan memuncak dan menimbulkan ketegangan.
‘Suhu’ kemarahan dilihat meningkat ketika Jokowi memfokuskan untuk dipilih semula.
Pada 2014, kebanyakan penduduk Sulawesi memilih beliau dan kali ini, pemimpin itu berdepan risiko kehilangan sokongan.
Gempa bumi pada 28 September lalu menyebabkan tsunami yang memusnahkan kawasan pesisir pantai selain pencairan tanah dengan 4,400 orang terbunuh.
Walaupun tragedi itu seakan-akan ‘pudar’ daripada perhatian umum, sebahagian kota Palu kelihatan ‘seperti baharu semalam dilanda gempa’ dengan pesisir pantai masih dipenuhi timbunan runtuhan.
Kira-kira 173,000 orang dipindahkan dan 20,000 lagi masih tinggal di dalam khemah.
Datuk Bandar Palu, Hidayat memberitahu, kerajaan Pusat telah menghentikan pembinaan rumah manakala penyediaan rumah kekal belum dimulakan.











