JAKARTA 16 April – Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak berarak atau berkumpul selepas hari pengundian, esok.
Lapor CNN Indonesia, beliau turut menjelaskan yang polis tidak memberi sebarang permit atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk berkumpul atau berarak.
“Saya meminta orang ramai supaya tidak melakukan perarakan sebagai menyatakan tanda kesyukuran atau sebarang bentuk sambutan kerana ia boleh mencetuskan provokasi kepada parti-parti lain,” katanya, semalam.
Tito menegaskan, keputusannya itu adalah berdasarkan Perkara Sembilan 1998 dalam undang-undang mengenai Kebebasan untuk Bersuara dan Menyatakan Pandangan.
“Saya khuatir nanti akan wujud perselihan faham yang akhirnya akan membawa kepada keadaan huru-hara di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya membuat laporan kepada Dewan Kehormatan Penyelenggara Pemilu (DKPP) atau Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) ketika perjalanan pilihan raya.
Mengulas perkara sama, Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto menegaskan pasukan keselamatan tidak teragak-agak untuk bertindak sekiranya orang ramai ingkar akan perintah yang ditetapkan.
“Kalau kamu mahu meraikan kemenangan di rumah masing-masing atau rumah jiran, silakan tetapi bukan secara terbuka di kawasan awam. Kita akan bertindak,” tegasnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Komisi Pemilihan Umum (KPU), Viryan Aziz berkata, pihaknya akan mendahulukan pengiraan undi bagi pilihan raya Presiden (pilpres) di tempat pembuangan undi (TPS) sebelum mengira kertas undi selebihnya.
“Kita akan bermula dengan kertas undi Presiden diikuti dengan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan akhirnya Dewan Perwakilan Provinsi (DPRD Provinsi) dan daerah,” katanya. – AGENSI











