PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap tangkapan seramai 23 pegawai dan anggotanya.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tiada halangan terhadap bidang tugas SPRM.
“Jabatan ini juga yakin agensi itu akan menjalankan tanggungjawabnya dan mematuhi undang-undang berhubung siasatan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, SPRM menahan seramai 31 individu termasuk 23 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun.
Mereka ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara pukul 10 pagi hingga 4 petang tadi. -K! ONLINE











