SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 983 pasang kasut jenama terkenal disyaki tiruan dianggar bernilai RM49,150, semalam.
Kesemua itu hasil serahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Unit Siasatan Pelabuhan Utara di sini selepas mengesan sebuah kontena berisi barangan tiruan itu di Pelabuhan Utara pukul 10 pagi.
Ketua Pegawai KPDNHEP Selangor, Azizan Abdullah berkata, Rampasan melibatkan 900 pasang kasut Nike, Louis Vuitton (LV) 36 pasang, Gucci (36) dan Puma (11).
Katanya, kasut tiruan itu telah disahkan oleh wakil pemilik cap dagang tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM49,150.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik dan individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011. – K! ONLINE











