Sinar baharu 
sektor pembinaan - Utusan Malaysia

Sinar baharu 
sektor pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 April – Keputusan kerajaan me­lak­sanakan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jumaat lalu, mampu memberi kelegaan kepada sektor pembinaan di negara ini setelah berada dalam keadaan suram bagi empat suku berturut-turut sejak suku kedua 2018.

Keadaan ini berlaku apabila kerajaan baharu yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu mengambil langkah menyemak semula projek infrastruktur mega dan melaksanakan pengukuhan fiskal seperti diumumkan pada Belanjawan 2019.

Walaupun projek ECRL memberi sinar baharu kepada sektor pembinaan, namun, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, landskap pembinaan domestik kekal mencabar kerana margin pembinaan yang lebih rendah pada masa akan datang disebabkan pembidaan yang kompetitif dan perbelanjaan kerajaan lebih ketat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekalipun, kami tidak menjangkakan prospek industri pembinaan domestik mampu mencapai tahap sebelum PRU-14, tetapi kami berpendapat, tempoh yang sukar bagi sektor ini sudah ber­akhir. Ini berdasarkan kepada kaunter-kaunter saham berkaitan pembinaan, dengan indeks pembinaan di Bursa Malaysia melonjak 33.3 peratus.

“Dalam masa sama, MyHSR Corp. Sdn. Bhd. melantik perun­ding penasihat teknikal bagi menyemak semula aspek teknikal projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura untuk pengurangan kos, juga memberi harapan baharu kepada projek ini,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek ECRL yang disambung semula itu akan menyaksikan pembabitan 40 peratus kontraktor tempatan.

Penganalisis Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei berkata, penyertaan lebih besar kontraktor tempatan akan memberi kesan berganda yang positif kepada industri pembinaan tempatan de­ngan kira-kira RM17 hingga RM22 bilion nilai kontrak untuk direbut.

“Ini secara tidak langsung menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat tempatan daripada pembekalan bahan mentah sehinggalah menganugerahkan kerja-kerja kepada subkontrator tempatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persa­tu­an Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berharap kerajaan akan memastikan syarikat tempatan memperoleh pakej penuh ECRL berbanding hanya kerja-kerja di peringkat sub sahaja bagi mengurangkan kepedihan yang ditanggung kontraktor selama ini.

Penganalisis MIDF Research, Muhammad Danial Abd Razak berkata, penyambungan semula ECRL adalah positif kepada sektor pembinaan kerana jika tidak diteruskan, kerajaan perlu membayar pampasan dan caj penalti sebanyak RM22 bilion.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, penamatan kontrak boleh menyebabkan pinjaman tidak berbayar yang perlu dilangsaikan dalam tempoh 30 hari. Kami faham bahawa pakej pampasan itu, termasuklah bayaran kepada pembekal, pecahan kos, pinjaman pokok, faedah bayaran dan tempahan membabitkan pembekalan dan perkhidmatan.

“Dengan mengambil kira situasi ini, membatalkan projek ini bukanlah satu pilihan yang bijak. Jadi, dengan langkah mengurangkan kos kepada RM68 juta per kilometer berbanding RM98 juta sebelum ini, dapat membantu kerajaan mengurangkan bayaran faedah. Bagi kami, langkah ini lebih bertepatan memandangkan projek ini memperoleh sedikit pinjaman dari Exim Bank,” katanya.

habiss//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini