KUALA LUMPUR – Seramai tujuh peniaga pasar malam di Taman Desa Fasa 1 di sini mendakwa tidak dibenarkan memperbaharui lesen tahunan di kawasan mereka menjaja selepas gagal melunaskan bayaran seperti yang dituntut oleh pihak ketiga.
Peguam yang mewakili mereka, Kamarudin Ahmad berkata, kesemua peniaga di pasar malam taman tersebut dikehendaki melunaskan bayaran servis sebanyak RM210 kepada sebuah persatuan penjaja sebelum permohonan untuk memperbaharui lesen tahunan diluluskan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sebelum ini DBKL telah menetapkan bayaran memperbaharui lesen sebanyak RM57 setahun namun kini permohonan peniaga akan ditolak sekiranya tidak mempunyai surat sokongan daripada persatuan tersebut.
“DBKL tidak sepatutnya melantik pihak ketiga untuk mengendalikan proses berkenaan kerana pihak tersebut tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menghantar memorandum kepada DBKL di Menara DBKL di sini hari ini.
Menurut Kamarudin, persatuan penjaja tersebut turut mengenakan bayaran sebanyak RM210 itu di tiga lagi lokasi pasar malam lain seperti di Taman OUG, Kuchai Lama dan Taman Happy Garden.
“Beberapa orang penjaja sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini malah kami juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkan masalah ini kepada Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya cara diplomasi dengan menghantar memorandum tidak menyelesaikan isu ini.
“Kami tidak menolak kemungkinan ada orang dalam DBKL yang ‘merestui’ tindakan pihak berkenaan yang menyebabkan mereka berani meminta wang daripada peniaga untuk mengeluarkan surat sokongan,” tegas beliau.
Dalam pada itu peniaga di Pasar Malam Taman Desa, Low Kim Hoon, 75, berkata, dia tidak mampu untuk membayar wang yang diminta persatuan berkenaan bagi membaharui lesen.
“Saya hanya menjual makanan di pasar malam berkenaan dan bagi saya RM210 itu adalah terlalu mahal jika mahu dibandingkan dengan RM57 seperti sebelum ini.
“Kos sara hidup juga tinggi sekarang dan saya hanya bergantung dengan pendapatan sebagai peniaga di pasar malam itu sejak 10 tahun lalu,” luah warga emas yang juga merupakan ibu tunggal itu.
Seorang lagi peniaga, Wong Chi Chun, 48, berkata, dia sudah beberapa kali cuba berunding dengan persatuan penjaja berkenaan untuk mendapatkan surat sokongan namun mereka tetap berkeras.
“Ketika saya pergi berjumpa dengan pihak persatuan itu, mereka meminta saya membayar terlebih dahulu sebanyak RM210 sebelum mendapatkan cop untuk surat sokongan
“Saya mempunyai empat tapak perniagaan di pasar malam berkenaan yang menjual barangan kecantikan wanita, jadi saya perlu membayar kira-kira RM800 untuk memperbaharui lesen dan jumlah itu amat besar bagi peniaga kecil seperti saya,” luah beliau. – K! ONLINE











