JITRA – Kegiatan seorang lelaki mencuri motosikal di pasar-pasar pagi dalam daerah Kubang Pasu sebelum menjualnya ke Thailand pada harga 4,000 Baht atau kira-kira RM516 tumpas apabila dia ditahan polis semalam.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas mencuri motosikal jenis Honda Wave di pasar pagi Pekan Padang Sera, Kodiang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal tersebut pada pukul 10.30 pagi semalam.
“Bertindak atas laporan itu, pasukan khas Lejang Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu berjaya menahan suspek di kawasan letak kereta Hospital Tuanku Fauziah, Kangar Perlis kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pihaknya merampas beberapa barangan termasuk peralatan disyaki digunakan untuk mencuri motosikal iaitu dua kunci Allen dan spanar yang telah diubah suai.
“Siasatan mendapati suspek disyaki terlibat dalam lapan kes curi motosikal dengan menyasarkan motosikal jenis Honda Wave di pasar-pasar pagi di daerah Kubang Pasu sejak Julai tahun lalu.
“Suspek kemudian akan menjual motosikal yang dicuri itu ke negara jiran melalui Padang Besar, Perlis pada harga 4,000 Baht,” ujarnya.
Tambahnya, suspek yang tidak bekerja mempunyai lima rekod jenayah antaranya membabitkan kes memiliki barang dan kenderaan curi.
“Lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











