Dijel enam bulan miliki rokok seludup - Utusan Malaysia

Dijel enam bulan miliki rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Padah menimpa dua pekerja kedai runcit warga Indonesia selepas dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 854 paket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1668.56 Jumaat lalu.

Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu sebaik kedua-dua tertuduh, Ridhwan, 31, dan Munzir, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Aceh, Indonesia itu diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada Jumaat lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhammad ‘Azzam turut memerintahkan Ridhwan dan Munzir membayar duti import masing-masing berjumlah RM1,232 dan RM1,726.80 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jika gagal membayar, Ridhwan akan berdepan tambahan penjara sebulan, manakala Munzir pula berdepan hukuman penjara tambahan dua bulan. Kedua-dua tertuduh membayar duti import terbabit.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kesemua rokok itu dilucut hak untuk diserahkan kepada pihak JKDM bagi pelupusan.

Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, Ridhwan didakwa memiliki barang-barang larangan import iaitu 341 peket rokok pelbagai jenama bernilai RM622.40 manakala Munzir memilki 513 peket rokok bernilai RM1046.16 yang  dilarang pengimportannya dibawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kesalahan tersebut dilakukan mereka di sebuah kedai runcit di Jalan Seri Sarawak 17 dan 14, Taman Seri Andalas, Klang di antara pukul 3.50 petang dan 4 petang, 12 April lalu. 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000  atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Nurafifah Abd. Hamid, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini