Yadim mahu perjelas Islam kepada bukan Islam - Utusan Malaysia

Yadim mahu perjelas Islam kepada bukan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kepimpinan baharu Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) meletakkan teras utama yayasan tersebut untuk menjelaskan kefahaman agama Islam kepada golongan beragama Islam di negara ini.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga teras utama Yadim dalam usaha untuk mengubah pemikiran masyarakat di negara ini.

“Kita juga berusaha mengubah pemikiran orang Islam sendiri agar mereka dapat mendalami agama ini sebagai satu nikmat, anugerah dan ia bukan satu bebanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi golongan bukan Islam, kita akan memberi penjelasan sehingga mereka terima hidayah. Sekiranya tidak sampai ke tahap itu, cukup sekadar golongan ini dapat merasa selesa dengan layanan sama rata yang diberikan agama Islam kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Fastabiqul Khairat di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai peranan Yadim, Nik Omar berkata, yayasan tersebut merupakan salah satu agensi agama yang diberi peranan untuk melakukan kerja dakwah dengan membabitkan kerjasama strategik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, beliau berhasrat Yadim menjadi agensi contoh dalam memberikan dakwah dan nasihat kepada kerajaan supaya mentadbir negara ini dengan baik dan bukan untuk kepentingan peribadi.

“Teras Yadim seterusnya adalah operasi kehidupan yang bermaksud segala urusan harian manusia mesti berpandukan kepada kehendak Allah.

“Ia merupakan asas agama kerana manusia bukan sempurna sekali gus memerlukan petunjuk dalam mengurus kehidupan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini