KUALA LUMPUR 15 April – Sebanyak 30 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Uma Bawang, dekat Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga, Sarawak hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 6.03 petang.
“Sebanyak 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang mengambil masa antara satu jam setengah hingga dua jam dari Bintulu.
“Setakat ini, kami dimaklumkan bahawa kebakaran melibatkan dua blok rumah panjang berkenaan yang setiap satu blok dihuni 15 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Mohamad, pihaknya masih belum dapat memastikan sekiranya ada sebarang kemalangan jiwa dalam insiden tersebut dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE











