KUALA LUMPUR 15 April – Polis menahan tiga lelaki termasuk yang dipercayai aktif dalam jenayah ragut mensasarkan pelancong asing di daerah Dang Wangi sejak awal tahun ini.
Kesemua suspek itu ditahan susulan satu laporan mengenai kejadian ragut yang berlaku pada 9 April lalu membabitkan seorang wanita Vietnam yang kerugian RM13,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, dua suspek yang menaiki motosikal Yamaha 135 LC dikatakan telah meragut mangsa di Persiaran KLCC di sini.
Ujarnya, bertindak atas maklumat kejadian, sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah kemudiannya telah terserempak dengan dua motosikal dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik menghampiri kedua-dua suspek, mereka terus memecut lanjut sebelum seorang daripada mereka berjaya ditahan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, kita seterusnya menahan dua lagi rakannya di Jalan Ampang pada 11 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Rudy, hasil semakan lanjut, kesemua suspek mempunyai jenayah rekod lampau membabitkan dadah dan ragut selain mengakui terlibat dalam samun sebelum ini.
“Kesemua suspek kini ditahan reman dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki rakan jenayah mereka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











