IPOH – Orang ramai berpeluang untuk melihat lebih dekat aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk kapal-kapal perang untuk dilawati semasa Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut pada hujung minggu ini.
Acara tahunan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini diadakan sempena menyambut ulang tahun TLDM yang ke-85.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, pelbagai aktiviti telah disusun pada hari tersebut bertujuan mendekatkan masyarakat dengan TLDM.
Antaranya, lawatan ke kapal-kapal perang, pameran aset udara, teknologi persenjataan dan demonstrasi tempur oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) melibatkan helikopter Super Lynx serta Fennec.
“Kapal-kapal perang dan helikopter TLDM akan dibuka untuk lawatan bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang. Turut membuka ruang pameran ialah pelbagai agensi kerajaan seperti Maritim Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Buat julung-julung kalinya juga pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut melakukan demonstrasi ketenteraan.
“Jadi bagi yang tidak berpeluang untuk menyaksikan Pameran Udara dan Maritim Langkawi 2019 (LIMA ’19) di Pulau Langkawi, Kedah, mereka boleh hadir di Lumut untuk menyaksikan pertunjukkan daripada pihak TUDM,” ujar kenyataan tersebut.
Sambutan kali ini bertemakan ‘Armada Perkasa, TLDM Siaga’ sinonim dengan peranan TLDM untuk menjaga kedaulatan perairan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, turut diadakan ialah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta perkhidmatan pemeriksaan gigi dan kesihatan yang dibuka kepada orang ramai.
“Pasukan Brass Band TLDM dan Kawad Senyap juga akan membuat persembahan pada sebelah petang kedua-dua hari tersebut.
“Di samping gerai pameran, terdapat kira-kira 40 buah gerai jualan makanan dan minuman selain perkhidmatan food truck juga disediakan,” ujar kenyataan itu lagi.
Pada tahun lalu, Hari Terbuka Armada telah menarik kira-kira 60,000 pengunjung dan jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini termasuk yang datang dari luar negeri Perak. – K! ONLINE











