SERDANG 15 April – Tindakan polis mengepung sebuah kawasan tapak pembinaan sebelum melakukan serbuan di Taman Equine, Seri Kembangan dekat sini, semalam berjaya menahan sebanyak 14 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Difahamkan, ketika serbuan Op Nyah itu dilakukan, kebanyakan PATI sedang berehat sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, operasi yang bermula pukul 10 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Ibu pejabat Polis (IPD) Serdang bersama Balai Polis Seri Kembangan hasil maklumat dan risikan.
“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 74 warga asing di lokasi serbuan dan telah menahan sebanyak 14 PATI yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.
“Sepuluh yang ditahan ialah warga Bangladesh manakala empat lagi warga Indonesia dan siasatan mendapati kesemua mereka merupakan pekerja binaan di kawasan tersebut,” jelasnya.
Tambah Ismadi, kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE











