SABAK BERNAM- Kegiatan seorang penganggur menjadikan dapur rumahnya sendiri bagi memproses air ketum sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di Jalan Bagan Sungai Pulai, di sini Jumaat lalu.
Dalam serbuan pukul 2 petang itu menahan suspek lelaki berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati bekalan daun ketum diperolehi daripada penjual sekitar Teluk Intan, Perak dengan harga di antara RM8 hingga RM10.
“Menerusi serbuan itu menemui sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi botol plastik lutsinar bersaiz 1.5 liter disyaki mengandungi air ketum.
“Hasil pemeriksaan, terdapat 72 botol plastik dengan jumlah keseluruhan air ketum adalah 108 liter dianggarkan bernilai RM1,080,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, suspek dipercayai telah aktif menjual ketum sejak dua tahun lalu pada harga RM15 sebotol sebagai sumber pendapatannya.
Jelas Nor Azmi, pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 ,” katanya. -K! ONLINE











