SINGAPURA 15 April – Hampir 100 ahli akademik seluruh dunia meluahkan kebimbangan berhubung cadangan undang-undang Singapura terhadap ‘berita palsu’ kerana dikhuatiri akan menjejaskan kebebasan akademik serta membantutkan cita-cita negara ini untuk menjadi hab pendidikan global.
Singapura pada bulan ini mendedahkan undang-undang yang merangkumi tindakan keras, termasuklah kuasa kepada menteri-menteri mengarahkan laman media sosial seperti Facebook, Google dan Twitter untuk meletakkan amaran terhadap kandungan yang pihak berkuasa sifatkan adalah palsu atau memadamnya terus.
Sekiranya kandungan itu dianggap berbahaya dan mencemarkan kepentingan Singapura, syarikat boleh dikenakan denda sehingga AS$740,000 (RM3 juta) manakala individu bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Pihak berkuasa negara ini menegaskan tindakan sebegitu adalah wajar bagi menyekat penyebaran berita palsu yang akan memecahbelahkan masyarakat namun langkah berkenaan tidak dipersetujui oleh kumpulan kebebasan media serta firma teknologi seperti Facebook dan Google.
Seramai 97 ahli akademik dari seluruh dunia di Singapura dan Asia telah menandatangani surat amaran membantah undang-undang terbabit.
“Kami bimbang undang-undang itu akan memberi kesan buruk bagi golongan sarjana dan penyelidikan di Singapura,” kata mereka yang turut terdiri daripada ahli akademik dari Harvard dan Yale serta institusi pendidikan di Britain, Australia dan beberapa negara Asia.
Singapura merupakan tuan rumah kepada beberapa institusi pendidikan tertinggi terkemuka, yang sering menarik ahli akademik dari seluruh dunia. – AFP











